Politik

Pemuda Amanah perlu tunjuk keterampilan

ANGGOTA Parti Amanah Negara (Amanah) terutama Pemuda perlu menunjukkan keterampilan dan kebolehan yang lebih baik berbanding parti lain sekiranya mahu parti itu bertahan dalam politik Malaysia, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata parti itu perlu kekal serta berdiri kukuh dalam Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun parti Amanah sudah empat tahun bertapak dan meraih pencapaian dengan berada dalam Kabinet negara, namun ia penting bagi Amanah tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan parti-parti yang terkubur.

“Kita cuba yang terbaik dan cabaran terbesar adalah apabila kami dilantik sebagai menteri dan timbalan. Satu pengalaman baharu dan sudah tentu ada kelemahan dan kami sentiasa menambahbaik dan meletakkan Amanah di posisi yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 di sini.

Perasmian konvensyen kali pertama diadakan itu dihadiri hampir 500 perwakilan.

Dalam pada itu, memanfaatkan kali terakhir memberi amanat sebagai Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan mengingatkan supaya Pemuda menjadikan konvensyen itu sebagai medan muhasabah memperkukuh parti.

Beliau yang berada di penggal terakhir selaku Ketua Pemuda turut menegur ahli parti supaya tidak berbangga dengan jawatan yang diberikan dan mengamalkan ‘resmi padi, makin berisi makin menunduk’.

“Kita tidak mahu pemuda yang sekadar berseronok dengan jawatan yang tinggi, berubah tingkah laku dan mula selesa dengan jawatan dan melupakan hasrat murni rakyat bawahan,” katanya.

Konvensyen itu akan menyaksikan sesi pemilihan bagi jawatan ketua pemuda, timbalan ketua pemuda dan tiga naib ketua pemuda serta 27 ahli jawatankuasa sesi 2019-2022 yang akan berlangsung esok.

— BERNAMA

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button