Politik

UMNO kalah teruk kali ini – Isham

KENYATAAN ISHAM JALIL

UMNO telah kalah lagi semalam. Kali ini kalah teruk, hanya menang 19 kerusi dari 108. Kita menang 1 di Kelantan, 2 di Pulau Pinang, 2 di Selangor, dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain semua kita kalah.

Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak UMNO akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU-16.

Saya dan akar umbi telah berusaha sedaya upaya di bawah. Kini kepimpinan perlu membuat pertimbangan semula dan membuat keputusan.

Saya telah jelajah ke hampir seluruh enam negeri untuk berkempen, dan saya telah berdialog dengan akar umbi. Di mana-mana saya pergi akar umbi kita rata-rata bertanya tentang tiga perkara: Pertama berkenaan DAP, kedua berkenaan Presiden, dan ketiga berkenaan Dato’ Sri Najib. Perkara-perkara ini adalah isu-isu utama di akar umbi.

Berkenaan DAP, saya telah kata sebelum ini bahawa perkara ini adalah amat sensitif kepada akar umbi kita. Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN. Ini yang telah berlaku di enam negeri ini.

Di Selangor, undi yang calon PN bertanding menentang calon kita, calon PN telah mendapat undi lebih banyak berbanding ketika mereka bertanding di bawah tiket PKR dulu. Ini bermaksud, bukan sahaja penyokong lama PKR menyokong mereka, namun orang UMNO pun mengundi mereka juga. Ini adalah satu tamparan hebat kepada UMNO.

Kita perlu selesaikan isu DAP ini. Sama ada kita terus bekerjasama dengan mereka dalam kerajaan dan pilihanraya, ataupun bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihanraya. Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar, namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat. Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya.

Berkenaan isu Presiden yang ditanya oleh akar umbi, saya telah jawab apa yang termampu di sesi-sesi dialog saya. Saya bukan orang Presiden, namun saya hormat institusi itu. Saya mohon supaya YAB Presiden dapat berjumpa akar umbi sendiri sehingga ke peringkat bawah di akar umbi dan berdialog dengan mereka untuk menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan.

Berkenaan Dato’ Sri Najib, saya telah beberapa kali berkata bahawa jika Dato’ Sri Najib ada bersama kita berkempen, kita mempunyai peluang yang lebih cerah. Namun Dato’ Sri Najib masih di dalam penjara sudah setahun kini, dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuk Dato’ Sri Najib. Dato’ Sri Najib kerap kata kepada saya, dia bukan mahu kesnya digugurkan, dia hanya mahu mendapat perbicaraan yang adil. Sehingga kini dia tidak dapat perbicaraan yang adil kerana hakim-hakim yang mengadili dan mensabitkan kesalahan kepadanya adalah berat sebelah dan ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes yang diadili.

Saya telah cadang supaya kerajaan membenarkan tahanan di rumah untuk Dato’ Sri Najib sementara dia menjalani proses pengampunan atau perbicaraan semula atau sebagainya.

Saya harap kita melihat dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik, kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal. Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan UMNO akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun.

Ikhlas dan salam,

ISHAM JALIL

13 Ogos 2023

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button