Nasional

Buli, rasis sumbang kadar keciciran Orang Asli yang tinggi

SEORANG aktivis Orang Asli mencadangkan agar elemen masyarakat Orang Asli dimasukkan dalam kurikulum sekolah dan guru dilatih mengendalikan sikap berat sebelah antara kaum.

Suria Selasih Angit turut menggesa lebih banyak sekolah komuniti atau pusat pembelajaran di perkampungan Orang Asli ditubuhkan bagi meningkatkan pencapaian pendidikan masyarakat tersebut.

Bercakap di acara maya Tribunal Wanita Malaysia, Suria berkata, agensi kerajaan dan bukan kerajaan boleh bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk menubuhkan pusat pembelajaran ini.

“Kita boleh menggunakan pusat pembelajaran komuniti sedia ada di Kampung Tual, Pahang, untuk suku Temuan yang dikendalikan oleh sekumpulan guru yang diketuai oleh Jenita Engi, ahli suku berkenaan sebagai kajian kes untuk inisiatif ini,” kata Suria.

Selain itu, Suria turut mencadangkan pembaharuan seperti penyepaduan strategik elemen Orang Asli ke dalam kurikulum untuk pelajar dan latihan untuk guru mengenai sikap berat sebelah antara kaum dan prasangka dalaman untuk memupuk sikap saling mempercayai antara guru dan pelajar Orang Asli.

“Cadangan ini dapat mengukuhkan inisiatif sedia ada kerajaan untuk menyediakan pendidikan kepada murid Orang Asli seperti penubuhan sekolah K-9 untuk Orang Asli, kurikulum kontekstual untuk Orang Asli, dan penubuhan pusat penyelidikan untuk membangunkan kurikulum dan pedagogi untuk Orang Asli,” katanya.

Menurut Suria, sikap rasis dalam persekitaran sekolah menjadi faktor kepada kadar keciciran yang tinggi dan tahap pencapaian akademik yang rendah dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Selain itu, penggunaan kurikulum kebangsaan yang tidak memenuhi keperluan pelajar Orang Asli juga menyumbang kepada kadar keciciran yang tinggi dan tahap pencapaian akademik yang rendah,” ujarnya.

Sementara itu, Suria turut berkongsi pengalamannya sendiri yang menghadapi sikap rasis semasa zaman persekolahannya, di mana dia menyembunyikan identiti Temiarnya untuk mengelak daripada dibuli.

“Malangnya, buli kaum terhadap pelajar Orang Asli tidak akan berakhir walaupun mereka cuba menyembunyikan identiti mereka dan mengasimilasikan diri mereka dalam komuniti yang lebih luas,” katanya.-SM

(Visited 436 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button