
Gabungan SIRIM-ELMU Fokus Latihan Berkualiti dan Teknologi Maju
SIRIM Berhad (SIRIM) dan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkukuh keupayaan negara dalam dasar, penjenamaan global dan pembangunan kapasiti dalam bidang standard serta inovasi.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di kampus ELMU, Bandar Enstek itu menandakan permulaan kerjasama strategik antara dua institusi terkemuka dalam usaha memajukan pendidikan, latihan dan teknologi negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama ini akan memacu kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan pembangunan selaras dengan agenda negara.
“Fokus ELMU dalam penguatkuasaan dan kepimpinan melengkapi kepakaran SIRIM dalam bidang standard dan inovasi. Sinergi ini mampu melahirkan bakat masa depan dengan asas akademik yang kukuh dan kemahiran praktikal,” jelasnya.
MoU ini turut merangkumi pembangunan pensijilan mikro dan program latihan industri dalam bidang utama seperti pengurusan kualiti dalam penguatkuasaan undang-undang, pengurusan bencana, liabiliti korporat, amalan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) serta kecerdasan buatan (AI).
Tambah beliau, kerjasama ini akan memperluas peluang kepada penyelidikan bersama dan penggunaan infrastruktur teknikal bagi menggalakkan penerapan teknologi canggih seperti AI, analitik data raya serta penyelesaian lestari.
Sementara itu, Ketua Eksekutif dan Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed menyatakan keyakinannya terhadap impak positif MoU ini dalam menyokong pembangunan negara.
“MoU ini mencerminkan usaha bersama meningkatkan penanda aras industri, menyokong pendidikan berimpak tinggi dan mempercepat pertumbuhan nasional,” katanya.
Beliau turut merasmikan pelancaran inisiatif ESG ELMU yang menjadi sebahagian komitmen institusi tersebut terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ELMU, Dato’ Hairul Ridza Hayata; Ketua Pegawai Kewangan ELMU, Datin Noraini Aripin; Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan SIRIM, Mohd Faisal Abdul Shukor; dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin.