Nasional

Malaysia dilandasan betul dapatkan kapasiti TBB

MALAYSIA berada di landasan yang betul untuk mendapatkan 31% kapasiti tenaga daripada tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2025 dan 40% menjelang 2040, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, penjanaan TBB di Malaysia kini berada pada paras 25%.

“Malaysia walaupun mempunyai industri minyak dan gas yang lumayan, negara ini mengiktiraf kepentingan sumber tenaga boleh baharu (TBB).

“Pada awal 1990-an, TBB dinamakan sebagai bahan api kelima di bawah Dasar Tenaga Negara. Hari ini, sumber TBB ialah solar, mini hidro, biojisim dan biogas,” katanya.

Perdana Menteri Anwar berkata demikian dalam ucapan Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2023, hari ini. Persidangan diadakan selama dua hari bertemakan Mempercepatkan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab.

Anwar berkata, persidangan ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pacuan Malaysia untuk meminimumkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sambil mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api berasaskan karbon untuk menjana tenaga.

“Penjanaan elektrik dan haba dengan membakar bahan api fosil iaitu arang batu, minyak atau gas, mengeluarkan sejumlah besar gas rumah hijau.

“Akibatnya, sektor tenaga telah dikenal pasti sebagai penghasil gas rumah hijau terbesar ke atmosfera. Ini menyumbang kepada perubahan iklim yang berlaku pada kadar lebih pantas berbanding sebelumnya,” katanya.

Di bawah Perjanjian Paris, setiap negara harus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dengan sewajarnya, katanya.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita menjanjikan pelepasan GHG sifar bersih seawal tahun 2050. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) memperincikan bagaimana kita akan mencapai objektif ini,” ujar beliau.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri Anwar juga berkata, Kerajaan telah mengkaji semula rancangan penyahkarbonan untuk melihat sama ada kita boleh melakukan lebih banyak lagi.

“Kami meneliti beberapa faktor termasuk dasar dan rangka kerja kawal selia untuk menggerakkan isi rumah dan perniagaan agar mengubah tingkah laku.

“Ini termasuk penyelesaian teknologi yang berdaya maju untuk menghijaukan operasi dan sama ada terdapat peluang pengurangan karbon global di Malaysia yang boleh membantu kita melaksanakan nyah karbon,’ jelasnya.

Tambah beliau, Agensi Tenaga Antarabangsa (International Energy Agency – IEA) melaporkan bahawa pelaburan dalam tenaga bersih dijangka mencecah USD1.7 trilion pada 2023.

Sehubungan itu, katanya, terdapat juga iltizam yang kuat untuk kerjasama antarabangsa yang akan menyediakan ruang tambahan untuk menyahkarbon.

Beliau berkata, terdapat banyak peluang muncul bersama peralihan tenaga bersih merentasi rantaian bekalan, daripada pengeluar panel solar, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penyimpanan tenaga bateri hinggalah kepada pelbagai teknologi lain.

“Kesemua perkembangan ini memberi dorongan kepada kita untuk menyusun semula ekonomi, sambil meningkatkan peluang pelaburan dalam pertumbuhan hijau,” katanya. – SM

BACA Tenaga boleh baharu, tenaga solar mampu selamatkan industri perhotelan

BACA Techna-X meterai perjanjian bersama tiga pihak berkepentingan bagi projek teknologi tenaga boleh baharu

 

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button