fbpx
Nasional

G25 kumpulan liberal yang keliru tentang hukum murtad

KUMPULAN bekas penjawat awam kanan, G25 yang mengkritik undang-undang murtad dengan mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya adalah urusan antara individu itu dengan Tuhan merupakan pandangan mengelirukan kumpulan liberal yang memperjuangkan hak kebebasan individu.

Penyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, hukuman bunuh ke atas murtad adalah hukum yang ditentukan di dalam al-Quran dan hadith.

Menurutnya, Rasulullah dan para sahabat serta pemerintah Islam di zamannya turut mengamalkan perundangan yang sama.

Dalam kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam”, kumpulan G25 berkata, undang-undang negeri menghukum murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, 3 hak yang berbeza, iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya,” katanya.


“Tidak ada asas yang dibenarkan perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang.”

Dari segi perspektif Islam, G25 maklum, tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan. Oleh itu tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam, katanya.

Namun kumpulan itu menambah: “Meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali. Seorang Islam yang mahu mengambil pilihan itu harus diyakinkan untuk kekal Islam.

“Bagaimanapun sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan Tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam Al-Quran.”

Katanya, masyarakat demokrasi akan musnah sekiranya kebebasan berfikir, hati nurani dan agama tidak dihormati.

Berikut padangan penuh Dr. Ahmad Sanusi mengenai hukum murtad:

Kekeliruan Liberal Tentang Hukum Murtad

  1. Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mengkritik undang-undang murtad, dengan mengatakan bahawa keputusan seorang Muslim untuk keluar agamanya adalah perkara antara individu itu dengan Tuhan. Menurut laporan FreeMalaysiaToday, mereka menyatakan bahawa tiada hukuman yang diperuntukkan di dalam al-Quran.
  1. Ini adalah kekeliruan yang jelas oleh golongan yang berfikiran liberal yang memperjuangkan hak kebebasan individu. Hukuman murtad ini telah termaktub di dalam al-Quran dan hadith. Sarjana Muslim berhujah dengan ayat 74 dari Surah al-Taubah yang menjelaskan bahawa mereka yang kafir akan dikenakan azab di dunia. Menurut al-Imam Ibn Kathir, “azab di dunia” yang dimaksudkan ini adalah (mereka yang murtad) akan dihukum bunuh di dunia. Al-Imam al-Tabari dan al-Qurtubi turut memberikan makna yang sama seperti ini.
  1. Di dalam hadith pula, hukuman terhadap murtad sangat jelas. Rasulullah bersabda:

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ “Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.” (HR al-Bukhari).

  1. Hukuman ini pernah dilaksanakan secara praktikal di zaman Rasulullah. Rasulullah mengutuskan Abu Musa al-Asy’ari dan Muaz bin Jabal sebagai pemerintah di Yaman. Apabila Muaz tiba di Yaman, dia diadukan tentang seorang Yahudi yang murtad. Mendengar perkara ini, Muaz lantas berkata: لا أجلس حتى يقتل، قضاء الله ورسوله ـ ثلاث مرات ـ فأمر به فقتل

“Aku tidak akan duduk sehinggalah dia dibunuh atas hukuman yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul. Maka lelaki tersebut diperintahkan agar dibunuh. (HR al-Bukhari).

  1. al-Imam al-Darqutni pula meriwayatkan kisah di mana seorang perempuan telah murtad di zaman Rasulullah. Perkara ini diceritakan oleh Jabir ibn Abdullah. Kata beliau: أنَّ امرأة يُقال لها أُم مروان ارتدت فأمر النبي صلى الله عليه وسلَّم بأنْ يُعرَض عليها الإسلام فإنْ تابت وإلا قتلت، فأبت أنْ تُسلِم فقتلت

“Seorang wanita dikatakan Namanya Ummu Marwan telah murtad di zaman Rasulullah. Maka Rasulullah mengarahkan agar diajak (dan diterangkan kepadanya) tentang Islam. Sekiranya dia bertaubat (maka akan dilepaskan) dan sekiranya tidak maka dia akan dibunuh. (Apabila diajak kembali kepada Islam), perempuan tersebut engkar lalu dia dibunuh. (HR al-Darqutni dan al-Bayhaqi).

  1. Hukuman bunuh ke atas murtad ini adalah hukum yang ditentukan di dalam al-Quran dan hadith. Rasulullah, para sahabat serta pemerintah Islam di zamannya turut mengamalkan perundangan yang sama.
  1. Mempertikaikan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul adalah refleksi kepada keimanan kita terhadap Allah dan Rasul ini.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

(Visited 7 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button