
G-SHOCK Pilih Zizan Razak Sebagai Duta Pertama di Malaysia
PELAKON dan pelawak terkenal tanah air, Zizan Razak kini melakar satu lagi kejayaan dalam kerjayanya apabila dilantik sebagai duta rasmi pertama jenama jam tangan terkenal, G-SHOCK di Malaysia.
Pelantikan rasmi ini diumumkan pada 3 Jun 2025, sekaligus menjadikan Zizan sebagai ikon tempatan yang mencerminkan semangat ketahanan, gaya ekspresif dan versatiliti – nilai-nilai yang cukup sinonim dengan jenama G-SHOCK.

Peminat Tegar Jadi Duta
Zizan yang berasal dari Dungun, Terengganu bukanlah asing dengan G-SHOCK. Sejak dahulu, beliau sering dilihat mengenakan jam tangan ikonik ini dalam kehidupan seharian serta di set penggambaran – menjadikan kolaborasi ini sesuatu yang sangat autentik.
“Ini bukan sekadar jenama, tapi G-SHOCK adalah sebahagian daripada gaya hidup saya sejak dulu lagi,” kata Zizan dalam majlis pengumuman pelantikan tersebut.
Wakili Siri G-SHOCK 6900
Sebagai duta, Zizan akan mewakili siri G-SHOCK 6900, model yang cukup ikonik dan kini meraikan ulang tahun ke-30. Reka bentuk yang berani dan tahan lasak menjadikan jam ini simbol gaya dan kekuatan – sangat bertepatan dengan personaliti Zizan yang aktif, bertenaga dan sentiasa “on point”.
Bergandingan Dengan Nama Besar Serantau
Pelantikan Zizan juga menyaksikan beliau menyertai barisan duta serantau G-SHOCK yang turut terdiri daripada atlet bertaraf dunia seperti Superbon (juara kickboxing dari Thailand), Rizky Ridho (pemain bola sepak Indonesia), dan Dwight Ramos (bintang bola keranjang dari Filipina).
Dengan pelantikan ini, G-SHOCK dilihat semakin komited untuk mendekati pengguna tempatan dengan mengetengahkan ikon-ikon yang dekat di hati rakyat Malaysia.