Nasional

 Apa perkembangan terkini PJD Link, BPE dan KL Node

UNTUK kegunaan dan kemudahan semua rakyat maka isu pembinaan tiga lebuh raya yang baharu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen, Ong Kian Ming.

Minggu lepas, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan yang dikemukakan untuk pembinaan tiga lebuh raya telah diluluskan oleh kerajaan.

Lebuh raya berkenaan ialah Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), Bangi-Putrajaya Expressway (BPE) dan KL Node.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bangi, Kian Ming menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pihak swasta yang diluluskan bagi membina lebuh raya baharu itu termasuk di sekitar Lembah Klang.

Kian Ming mengemukakan beberapa soalan kepada Unit Kerjasama Swasta Awam (UKAS) di Jabatan Perdana  Menteri termasuk anggaran kos pembinaan bagi setiap lebuh raya dan jumlah geran kerajaan yang diperuntukkan kepadanya.

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut mempersoalkan identiti pemegang konsesi bagi setiap lebuh raya berkenaan dan sama ada mereka dipilih melalui proses tender terbuka.

“Jikalau kaedah tender terbuka tidak dipilih, apakah kelayakan syarikat konsesi ini yang membolehkan mereka dilantik oleh UKAS untuk melaksanakan projek lebuh raya ini?” soalnya dalam satu kenyataan.

Kian Ming  berkata, adakah syarikat konsesi ini mempunyai pengalaman dan ‘track record’ yang cukup teguh untuk memberi keyakinan kepada pihak UKAS bahawa ia akan dapat melaksanakan projek-projek ini dengan baik?

Beliau turut mempersoalkan, apakah terma dan syarat dalam perjanjian konsesi termasuk kadar tol?

Ahli Parlimen itu turut mempersoalkan sama ada kadar tol akan dinaikkan dalam masa ditetapkan dan pampasan yang perlu dibayar kerajaan sekiranya kadar tol tidak dinaikkan.

Kian Ming turut meminta Kementerian Kerja Raya memberi akses umum kepada semua kajian aliran trafik yang dibuat sebagai bukti bahawa lebuh raya terbabit boleh mengurangkan kesesakan trafik di kawasan terlibat.

Tegas beliau, projek lebuh raya seperti yang dicadangkan akan memberi impak jangka panjang kepada landskap, cara kehidupan dan kadar pembangunan di kawasan terlibat,.

Katanya, proses meluluskan projek itu memerlukan ketelusan dari segi maklumat dan keterbukaan dari segi perbincangan umum. – SM

(Visited 664 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button