Pendidikan

FPM MENANG EMPAT KATEGORI ANUGERAH AKADEMIA UPSI 2021

Majlis Anugerah Akademia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2021 atau A2U yang berlangsung semalam menyaksikan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menguasai anugerah apabila merangkul tiga kategori .
Terdahulu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Taff mengucapkan tahniah atas kejayaan yang dicapai penerima anugerah dan komitmen mereka sangat bermakna dalam melonjakkan imej UPSI di negara ini.
“UPSI mengatur strategi dan merancang melaksanakan A2U sebagai platform untuk akademia menyertai Anugerah Akademik Negara, “ katanya.

“Kejayaan yang dicapai ini adalah hasil pengorbanan seluruh warga UPSI sehingga universiti mencapai kejayaan dan dikenali berkat kasih sayang terhadap UPSI. “ katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Ir. Dr. Robiah Yunus dalam ucapannya besetuju bahawa kejayaan dicapai oleh UPSI adalah berasaskan strategi dan “design”, malah memperlihatkan hasilnya kini .
Akademia UPSI, katanya, pernah memenangi Anugerah Akademik Negara sebelum ini dan berharap UPSI akan terus menghantar calon-calon yang terbaik dan berpotensi terutamanya yang menampilkan kaedah pengajaran yang kreatif dan berwibawa.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Ahmad Burak dan Prof Dr Siti Eshah Mokshein; Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar serta Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim.

FPM yang diwakili Dekannya, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hasim menerima Anugerah Penjanaan Kewangan Akademik, Anugerah Kecemerlangan Pasca serta Anugerah Fakulti Sejahtera yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000, manakala Dr. Ardzulyna Anal dari fakulti yang sama juga merangkul Anugerah Penasihat Akademik dengan hadiah wang tunai RM500.


Selain itu Bahagian Hal Ehwal Akademik memenangi Anugerah Kualiti Pengurusan dan Akademik; Bahagian Pengurusan Kualiti (Anugerah Tadbir Urus Akademik -Selain Fakulti); Fakulti Bahasa dan Komunikasi (Anugerah Graduate Employability ); Fakulti Pengurusan dan Ekonomi ( Anugerah Pengantarabangsaan Pusat Tanggungjawab) dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.

Fakulti Bahasa dan Komunikasi merangkul hadiah wang tunai RM5,000 bagi Anugerah Jabatan Terbaik apabila Jabatan Komunikasi dan Media fakulti berkenaan dinobatkan memenangi anugerah berkenaan.

Empat anugerah utama iaitu kategori Anugerah Program Terbaik dimenangi oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi menerusi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) Dengan Kepujian yang memenangi hadiah wang tunai RM3,000.00 berserta Sijil.

Anugerah Fakulti Terbaik dimenangi Fakulti Sains dan Matematik (Geran ); Ts. Dr. Kesavan a/l Nallaluthan dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (Anugerah Inovasi PdP – Pembelajaran Imersif Bersemuka) serta Anugerah Inovasi PdP (Inovasi Pembelajaran Imersif Maya) yang disandang oleh Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan dari Fakulti Seni, Komputeran & Indusri Kreatif . Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil.

Majlis menjadi syahdu dan hening seketika apabila Rini Shaharizah Mohamed @ Ramli, isteri kepada Allahyarham Prof. Dr. Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah naik ke pentas untuk menerima Anugerah Anumerta Akademia UPSI. Allahyarham yang terlibat aktif bersama ResQ Team UPSI mengalami kemalangan Dan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan melaksanakan misi bantuan di Kuala Krai pada 2016.

KETERANGAN GAMBAR
Gambar 1: Penerima anugerah bergambar bersama dengan Prof Robiah (depan enam dari kanan) dan Prof Datuk Dr Md Amin (depan empat dari kiri) .
(Foto ihsan UPSI)

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPRAT
1 JUN 2022

 

(Visited 34 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button