NasionalUncategorized

Fosil prasejarah tarik perhatian pasangan diraja

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat melawat lokasi penemuan fosil tulang dan tengkorak prasejarah yang ditemui baru-baru ini di Bukit Keteri semalam.

Baginda berdua yang diiringi anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail telah disambut keberangkatan tiba oleh Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Utara, Ardi Asmera Saeman dan seterusnya dipersembahkan taklimat oleh Kurator Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara Bahagian Utara, Muhammad Tarmizi Husni.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Asmaiza Ahmad,

Baru-baru ini, terdapat penemuan fosil-fosil tulang seperti tengkorak manusia, fosil haiwan prasejarah, fosil cenkerang laut dan lukisan gua zaman proto sejarah di sekitar Bukit Keteri dan Semadong yang dipercayai berusia di antara 5,000 hingga 10,000 tahun.

Aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO), Perlis Nature and Wildlife (PNW) bersama Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) giat meneroka alam semula jadi sekitar Perlis sejak penemuan pertama dalam tahun 2018 yang lalu. Eksplorasi bersama Jawatan Warisan Negara mula dilakukan pada Julai tahun lalu.


Perlis memiliki bukti arkeologi yang kaya dengan formasi gua batu kapur, mempunyai keunikan dan mampu menarik pakar-pakar geologi serta penyelidik yang berminat tentang tamadun awal manusia untuk datang membuat kajian di negeri ini.

Pelbagai lagi fosil unik dipercayai boleh diteroka di Perlis, di mana banyak kajian mendalam boleh dilakukan bagi memahami tentang manusia zaman prasejarah di negeri ini.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda diiringi Asmaiza dan Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Mohd Rusfaizal Mohd Radzi turut meluangkan masa melawat kawasan ‘rock climbing’ di Bukit Keteri yang mana baginda sendiri dalam tahun 2007 pernah menerima Mammut Pro Team dari Switzerland diketuai oleh jagoan dunia, David Lama dan rakan-rakan untuk membuat 53 laluan pada ketika itu bagi melihat aktiviti terkini yang dijalankan oleh pasukan Perlis Climbers.

Baginda berdua juga mengambil peluang untuk berangkat singgah di Kg Perawah Datuk Kayaman yang mana baginda dapati ada beberapa usaha pelancongan menarik yang berpotensi untuk diketengahkan lagi secara bersepadu termasuklah bengkel Batik Inderawasih dan koleksi barang-barang lama milik peribadi salah seorang masyarakat setempat.

Kawasan tersebut juga sudah mempunyai beberapa buah homestay, nurseri pokok dan bunga, aktiviti berkayak, Gua Ngulang serta kedai makan yang sedang dalam pembinaan yang mampu merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di samping menaikkan taraf barangan kreatif hasil tangan penduduk setempat.

 

 

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button