Nasional

Wanita terpedaya beli telefon bimbit murah kerugian RM10,320

MELAKA 14 Februari – Seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu jualan menjadi mangsa penipuan pembelian telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro menerusi laman sosial Instagram.

Ketua Jabatan Jenayah Komersil Melaka, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Superintendan E. Sundra Rajan berkata, wanita tersebut terpedaya dengan tawaran yang diberikan sebanyak RM1,200 jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Menurutnya, teruja dengan harga yang terlalu rendah itu menyebabkan wanita itu terus berhubung dengan lelaki yang tidak dikenali untuk urusan pembelian telefon bimbit tersebut.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuat bayaran secara berperingkat-peringkat sehingga mencecah RM10,320 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Alasan yang diberikan bayaran lebih perlu dibuat daripada harga yang ditawarkan kerana wanita itu dikenakan caj pembayaran cukai kastam dan caj insuran pembungkusan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sundra, menyedari dirinya ditipu apabila suspek masih meminta wang hingga memaksa wanita itu membuat satu laporan polis di Balai Polis Jasin, semalam (Ahad).

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Jelasnya, hasil semakan melalui aplikasi ‘Semak Mule CCID’ mendapati nombor telefon bimbit yang digunakan suspek mempunyai enam rekod melibatkan modus operandi yang sama.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan telefon bimbit atas talian menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran,” ujarnya.

Sundra turut meminta orang ramai membuat semakan ke atas nombor telefon bimbit atau akaun bank yang meragukan di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuatnaik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ di Playstore.

Menurutnya, pada tahun 2020 sebanyak 56 kes dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM265,169.99 dan meningkat pada 2021 membabitkan sebanyak 62 kes dengan kerugian berjumlah RM268,985 manakala sejak awal tahun ini sebanyak tujuh kes dilaporkan melibatkan kerugian RM52,190. – SM

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button