Politik

Formula pembaharuan politik Perlis

Kemenangan BN  yang berjaya mendapatkan 2/3 dalam Pilihanraya Negeri Melaka (PRN) Melaka dan Johor adalah rentetan daripada kejayaan Pilihanraya Kecil (PRK) yang menjurus kepada kebangkitan BN selepas tahun 2019 dan pasca PRU14. Ia adalah dampak denyutan nadi rakyat yang telah “serik” dengan janji “bulan dan bintang” oleh Pakatan Harapan (PH) yang telah menimbulkan kesedaran dan titik tolak keruntuhan keyakinan kepada janji kosong yang ditabur kepada rakyat. Dengan kemelut kegagalan kerajaan PH dan Perikatan Nasional pimpinan Muhyidin Yasin ia menjadi satu garisan peringatan kepada minda rakyat agar kembali kepada BN yang selama ini telah membawa pembangunan negeri.

Perkembangan semasa pembangunan UMNO dan BN di Malaysia turut membabitkan negeri Perlis yang membabitkan beberapa aspek. Pertama pembangunan politik UMNO dan BN negeri Perlis adalah berlandaskan perancangan pusat dan negeri. Senario ini turut membabitkan Perlis yang merupakan negeri yang turut merasai kebangkitan dan pembaharuan BN yang telah direncanakan oleh Presiden Parti iaitu Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi. Selaras dengan pembaharuan UMNO/BN pembaharuan Perlis dimulai dengan perlantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang dilihat sebagai satu permulaan kepada pembaharuan politik Perlis bagi memastikan dominasi sistem politik lama dan “warlord” yang dapat menjejaskan perancangan pembangunan negeri dan parti. Adalah menjadi keutamaan kepada UMNO dan BN bagi melakukan pembaharuan dengan pengajaran yang telah dibuat dan disaksikan rakyat akibat kemunculan beberapa pemimpin yang cuba mendominasi serta membelakangkan parti untuk kepentingan parti. Kejayaan Presiden Parti yang menampilkan 87% dan 70% muka baru dalam politik telah menghasilkan kejayaan majoriti 2/3 dalam PRN Melaka dan Johor membuktikan pembaharuan yang dirancang Presiden adalah mendapat sokongan rakyat.

Aspek kedua adalah pembaharuan politik Perlis perlu meletakan keutamaan bagi mentaati dan mematuhi Institusi Beraja di negeri Perlis agar ia menjadi teras dan keutamaan kepada kestabilan dan pentadbiran negeri selama ini agar sejajar dengan prinsip UMNO dan BN yang meletakan ketaatan kepada Institusi Beraja di Perlis dan Malaysia. Masyarakat telah melihat bagaimana terdapat Menteri Undang-Undang dari salah sebuah parti politik yang kononnya membawa imej agama yang ternyata engkar saranan dan perintah Institusi Beraja yang merupakan “Ulil Amri” semata-mata demi mempertahankan Perdana Menteri yang gagal. Ia adalah tindakan yang sepatutnya menjadi teladan kepada UMNO dan BN agar tidak lagi memiliki hubungan dengan parti yang “tergamak” mengabaikan perintah dan saranan Institusi Beraja. Sebarang tindakan yang bertentangan dengan saranan dan perintah Institusi Beraja adalah bertentangan dengan pembangunan UMNO dan BN. Justeru, pemimpin yang engkar dengan Institusi Beraja adalah perlu ditolak dan digantikan agar ia selaras dengan perancangan UMNO dan BN bagi mengelakan percanggahan dengan prinsip parti serta mengelakan mewujudkan “dinasti dalam parti politik” di Perlis.

Pembaharuan politik juga perlu meletakan keutamaan kepada rakyat yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN dalam 14 kali PRU semenjak tahun 1957. Kebajikan dan pembangunan  sosioekonomi rakyat menjadi keutamaan parti UMNO dan BN khususnya memulihkan ekonomi rakyat pasca PRU14 yang dihimpit kemiskinan akibat daripada kegagalan kerajaan Persekutuan pimpinan PH dan PN pimpinan Muhyidin Yasin. Rakyat Perlis juga mengharapkan pembaharuan seperti mana kejayaan Presiden berjaya melakukan pembaharuan dalam PRN Melaka dan Johor yang dahagakan pemimpin muka baru di bawah pentadbiran Pengerusi Perhubungan Negeri Dato Seri Azlan Man yang akhirnya menamatkan rangkaian dan pengaruh “warlord” dari sistem politik lama yang jelas bertentangan dengan UMNO dan BN pusat. Melalui keputusan pembaharuan 70% muka baru di Perlis ia akan membawa lembaran baru kepada politik Perlis yang akan menamatkan pengaruh dan rangkaian sistem politik lama di Perlis.

Dengan “mood rakyat” di Perlis dan seluruh negara ketika ini serta pembaharuan parti yang dirancang oleh Presiden Parti dan Menteriu Besar Perlis diyakini PRU15 adalah tidak mustahil untuk UMNO dan BN menyapu bersih kerusi 3 kerusi Parlimen dan 15 DUN di Perlis.

 

Ditulis oleh :

 

Nor Halmey Hamdah

Pelajar Pengajian PHD

Pusat Pengajian Antarabangsa,

Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa

Universiti Utara Malaysia

(Visited 502 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button