Nasional

Kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi: Sambung bicara hari ini

PERBICARAAN kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan 47 pertuduhan termasuk membabitkan dana Yayasan Akalbudi, bersambung pagi ini.

Setelah perbicaraan ‘berakhir’ sekitar November tahun lepas, kes yang didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memulakan prosiding sambung bicara hari ini.

Ahmad Zahid sudahpun berada di hadapan kamar mahkamah.

Seperti biasa, beliau segak mengenakan kot warna biru gelap.

Kes perbicaraan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sedikit maklumat imbasan prosiding kes tahun lepas, hakim terlebih dahulu mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dari segi Perlembagaan, yang membabitkan tuduhan yang dihadapinya.

Pada 22 Mac tahun lepas, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 67, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd., sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam, iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama, iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), menjadikan tuduhan yang dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.
Pada 26 Jun lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat berjumlah S$4.24 juta membabitkan Sistem VLN, dua tahun lalu.

Ahmad Zahid kemudiannya didakwa pada 27 Jun lalu dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama, di Mahkamah Sesyen Shah Alam – SM

(Visited 411 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button