Rencah Hidup

Formula kari ikan sembilang Pak Ngah Ali menyengat!

KUALA LUMPUR – Mendapat pelawaan untuk berkunjung ke sebuah kedai makan yang terletak jauh di ceruk kampung selepas waktu subuh merupakan satu pengalaman menarik buat diri saya yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Utara baru-baru ini.Kakak sulung memaklumkan tentang rancangannya untuk membawa kami semua bersarapan pagi di Pekan Simpang Tiga, Kuala Kurau, Perak dan kami juga perlu berada di kedai tersebut sebelum pukul 8 pagi.Sepatutnya, kami perlu berada di situ usai solat subuh kerana bermula pukul 6.30 pagi, kedai yang terletak berdekatan dengan sebuah sekolah di tengah pekan itu telah mula diserbu pelanggannya. Lebih menarik, mereka bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan tetapi juga pelanggan dari luar Perak.Akur dengan arahan tersebut, perjalanan dimulakan dengan pelbagai pertanyaan terus bermain di minda saya dan ahli keluarga yang lain.Pelbagai soalan menerjah di minda yang masih kurang segar ketika itu kerana terpaksa bersiap awal untuk keluar bersarapan. Apakah faktor utama yang mendorong kakak saya begitu bersungguh-sungguh mengajak kami sekeluarga bersarapan pagi jauh di pelusuk kampung sedangkan banyak lagi kedai makan yang menjual nasi lemak, nasi dagang, lontong dan roti canai di sekitar pekan Parit Buntar.Setibanya di destinasi, orang ramai sudah memenuhi meja dan suasana sibuk terasa di dalam kedai berdinding kayu yang berusia puluhan tahun itu.Jika mengambil kira daripada imej kedai makan yang serba kekurangan itu, pastinya orang bandar tidak akan tertarik untuk masuk ke premis berkenaan buat kali pertama.Namun apa yang pasti, di sebalik kedai kayu usang itu terhidang menu sarapan pagi berupa nasi kosong dengan kari ikan sembilang yang cukup menyelerakan.Tuan kedai tidak menawarkan menu lain seperti sambal belacan atau ikan kering atau telur masin dan ulam-ulaman, hanyalah sekadar nasi putih dan kari ikan tetapi menu tersebut berjaya menambat hati pelanggan dari seluruh negara.Bau kari menyelubungi kedai tersebut dan sekitar pukul 8.30 pagi, seorang pakcik tua kelihatan sibuk menyiapkan tempahan pelanggan yang masih bertali arus datang ke kedainya, memberitahu nasi dan kari ikan sudah habis. Ada yang berlalu pulang dengan kecewa dan ada juga yang sanggup meminta dihidangkan nasi putih hanya dengan kari kosong sahaja.Walaupun gulai ikan sembilang pakcik ini amat ringkas namun ia cukup lazat. Bau rempah karinya yang melekat dijari dan rasa ikan yang segar membuatkan saya sekeluarga memasang niat untuk berkunjung ke kedai usang itu lagi pada masa depan.Naluri wartawan amat tebal dalam diri ini membuatkan saya terpanggil untuk berbual-bual dengan pakcik yang lebih mesra dengan panggilan Pak Ngah Ali.Katanya, 20 tahun dia berkecimpung dalam dunia perniagaan tersebut dan menu kari ikan sembilang itu hanya ‘menjadi’ sejak 10 tahun lalu apabila dia berjaya mencipta sendiri formula rempah kari yang digunakan untuk memasak.Dia pernah cuba bertanya kepada seorang tukang masak wanita di Kulim, Kedah yang ketika itu cukup popular dengan rempah karinya untuk memberi tunjuk ajar memasak, tetapi gagal kerana wanita itu mengenakan bayaran sehingga RM100,000.Kecewa bukan bererti gagal. Pak Ngah Ali tekad belajar memasak sendiri sehinggakan terpaksa ‘mengintai’ atau melihat dari jauh, di luar pagar rumah wanita itu mengenai bahan-bahan rempah yang digunakan untuk memasak kari.Bermula di situ, Pak Ngah Ali mula belajar memasak dan mengadun rempah kari untuk dijual kepada pelanggan.Tanpa kenal erti jemu dan tekun berusaha untuk menghasilkan formulasi rempah kari yang sedap, perniagaannya kini berjaya dan nama kedai kari ikan sembilang Pak Ngah Ali cukup popular dalam kalangan pelanggan di seluruh negara.Menurut Pak Ngah Ali lagi, tiada rahsia besar yang perlu disembunyikan daripada pelanggannya kerana bagi usahawan yang berumur 64 tahun itu, dia hanya menggunakan bahan berkualiti yang mahal harganya di pasaran serta ikan segar diborong terus dari nelayan.”Saya akan memilih rempah yang cukup matang dan segar dan berkualiti, begitu juga dengan cili kering dan minyak masak kerana ia akan memberikan aroma yang cukup baik, biar mahal tetapi rasanya nanti akan cukup sedap,” jelasnya.Usahawan tersebut hanya perlu berniaga dari pukul 6 pagi selepas solat Subuh hingga pukul 9 pagi setiap hari kecuali hari Rabu dengan memasak 40 kilogram ikan segar seperti ikan pari, sembilang, bawal dan jenahak.Dalam keadaan ekonomi hari ini, kata Pak Ngah Ali, kos bahan mentah yang semakin meningkat bukan faktor penghalang untuk menghasilkan satu menu yang enak. Itulah sebabnya dia sendiri pergi ke pasar atau jeti nelayan untuk memilih ikan-ikan yang segar.Menguruskan perniagaannya sendiri, Pak Ngah Ali menolak cadangan lamaran untuk ditemubual oleh pengamal media kerana bimbang, sekiranya gagal memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah berkunjung ke kedainya.Tidak perlu glamer. Tidak perlu popular. Yang perlu ialah menjaga kualiti masakan dan membastikan pelanggan berpuas hati dengan menu kari ikan sembilang. Itulah falsafah Pak Ngah Ali. -SM

(Visited 1,450 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button