Nasional

KPKM campur tangan tingkatkan 20 % bekalan beras putih tempatan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang giat melaksanakan langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Antara langkah yang diambil adalah meminta pihak pengilang padi dan pemborong beras untuk meningkatkan 20% bekalan BPT melalui Program Khas Beras Putih Tempatan ke dalam pasaran.

Melalui Sesi Libat Urus Bersama Pihak Industri Pengilang Padi Dan Pemborong Beras Zon Utara pada 27 Ogos 2023 bertempat di Alor Setar, Kedah, pihak pengilang padi telah bersetuju untuk memberikan tambahan 20% kuota padi mereka kepada Kerajaan melalui BERNAS. Melalui Program Khas BPT ini juga, pihak BERNAS akan memberikan kuota tambahan ini kepada pemborong-pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT
negara.

KPKM berharap dengan langkah intervensi ini, bekalan pasaran BPT akan kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan pengeluaran BPT di pasaran. Sehingga kini,  harga BPT masih kekal pada harga kawalan RM2.60/kg sejak tahun 2008 dan ianya adalah harga terendah di rantau ini.

Selain itu, pihak KPKM akan turut mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2024 Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Bersama Dengan Pemain Industri/ Pihak Berkepentingan di Bawah Subsektor Padi pada 7 September 2023 di MAEPS Serdang, Selangor. Antara tujuan sesi ini diadakan adalah untuk mendapatkan input dan pandangan daripada pemain industri untuk meningkatkan pengeluaran BPT.

Dalam masa yang sama, pemantauan berterusan di seluruh negara melalui kolaborasi bersepadu antara  kawal selia Padi dan Beras (KPB), KPKM dan Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Operasi Jamin (OP JAMIN) sejak 1 Julai 2023 adalah masih berterusan dalam meningkatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi.

KPKM telah melancarkan Operasi Beras Putih (OP BPT) bermula 16 Ogos 2023 bagi menumpukan pemeriksaan dan penguatkuasaan peringkat pengilang padi dan pemborong beras seluruh negara. Sekiranya didapati ada pihak gagal untuk mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], KPKM melalui kuasa
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak untuk membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan.

Sebarang maklumat atau aduan berhubung isu berbangkit mengenai kekurangan bekalan BPT di pasaran, sila kemukakan aduan secara rasmi bersama butiran dan maklumat yang lengkap melalui saluran berikut:

Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
i. Portal Aduan KPB : https://skpb.kpkm.gov.my/adu
ii. E-mel Rasmi ([email protected])
iii. Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya : 03-88701751/1748/1183 – SM

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button