Politik

PRN 12 Ogos: Keputusannya positif bagi Kerajaan Perpaduan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang diadakan pada 12 Ogos, sudah pun berlalu dan umpama rumah sudah siap, lantai masih berbunyi sehingga mendorong Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa prestasi Kerajaan Perpaduan dalam enam pilihan raya negeri adalah positif.

Perdana Menteri Anwar berkata, parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih berupaya di tiga negeri yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia.

Ia sekali gus, kata Anwar yang juga Pengerusi PH, mengekalkan kuasa kestabilan politik.

“Yang lebih signifikan adalah hakikat kita masih mempunyai majoriti dua per tiga di parlimen dan tiada apa-apa pertukaran.

“Ada kestabilan politik di situ,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama  “The CNBC Conversation” pada Jumaat lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri 12 Ogos lalu, PH-BN berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Manakala Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengekalkan penguasaannya di negeri yang kekuatannya terletak kepada PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Mengulas lanjut Anwar berkata, memang lumrah, parti yang menganggotai kerajaan lebih banyak menghadapi kesukaran ketika PRN dan pilihan raya kecil kerana pembangkang menggunakan isu agama, bangsa dan isu ekonomi untuk menyalahkan kerajaan.

“Saya fikir berdasarkan semua senario negatif, apa yang telah dicapai itu bagus. Sekarang kita lega kerana kita mempunyai empat tahun untuk meneruskan program reformasi dan menghapuskan rasuah yang endemik di negara dan menangani propaganda kaum dan agama yang berterusan.

“Tiada petanda berkenaan sebarang perbalahan atau keretakan di dalam pakatan pemerintah termasuk parti-parti di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sambung Anwar, “jadi, dari satu segi, ia unik kerana tidak didominasi oleh sebab tertentu kerana majoriti Muslim tetapi kita ada perwakilan cukup untuk kumpulan minoriti dari Sabah dan Sarawak.”

Anwar berkata, berdasarkan kesemua faktor berkenaan, ada kestabilan serta kejelasan dalam mengisytiharkan dasar ekonomi.

“Jadi, saya fikir garis panduan dasar kita jelas dan kita boleh meneruskan dengan yakin,” ujar beliau.

Beliau turut menafikan bahawa rakan PH, BN ialah satu risiko meskipun beliau mengakui ada keretakan dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pimpinan tertinggi. – SUMBER MALAYSIAPOST – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button