Nasional

Raja Muda Perlis saran anggota tentera terus fokus pelaksanaan objektif ditetapkan pegawai atasan

Dengan tema Hari Tentera Darat ke-89 iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’, ianya menunjukkan tahap kematangan yang dikecapi dalam mengambil cakna setiap kebajikan pegawai dan anggota. Justeru, amatlah diharapkan agar setiap anggota mengambil peluang daripada perancangan pihak pemerintahan atasan dan terus menerus menitik beratkan segala objektif dalam perkhidmatan demi kepentingan bersama.

‘Enam fokus Tentera Darat sempena Hari Tentera Darat pada kali ini merupakan manifestasi daripada Mantan-Mantan Panglima Tentera Darat yang terdahulu. Kita perlulah mendukung aspirasi dan impian tinggi Tentera Darat dalam memastikan Askar Wataniah terus membanting tulang, bersedia menghadapi segala rintangan dan berusaha mencapai misi yang diamanahkan’.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan dan seterusnya mengetuai program ‘Kayuhan Amal Sempena Hari Tentera Darat ke-89’ yang dianjurkan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid As Sobirin Kg Gial.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen yang memegang slogan “Latih Untuk Perang” berkenaan disambut oleh Panglima 6 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Turut serta dalam program yang disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bagi menyerahkan juga sedikit sumbangan ikhlas daripada warga 6 Briged Infantri dan juga warga Kor Polis Tentera DiRaja kepada tiga buah keluarga asnaf yang disantuni tersebut ialah Ketua Provos Marsyal Angkatan Tentera Malaysia Brigedier Jeneral Dato’ Haji Mislan Anuar yang juga merangkap Pengerusi Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD), Provos Marsyal Darat Brigedier Jeneral Azman @ Norazman Selamat dan Pengarah KPTD Brigedier Jeneral Abd. Wahab Geoh.

Sebagai simbolik kenangan penganjuran program pada kali ini, satu persembahan ‘Tarian Perang’ oleh para anggota sukarela dan juga penanaman lima pohon pokok bunga kertas telah turut diadakan.

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button