Luar Negara

Filipina kuarantin 57 juta penduduk di Luzon

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte memerintahkan seluruh penduduk di pulau Luzon dikenakan kurantin sehingga 12 April untuk mengekang penularan Covid-19.

Dalam pengumuman yang disiarkan di televisyen malam tadi, Duterte berkata, pergerakan awam akan dihadkan kepada membeli makanan, ubatan dan lain-lain bahan keperluan untuk hidup sahaja.

“Hanya pihak yang menyediakan perkhidmatan seperti makanan dan ubatan dibenarkan buka,” katanya.

Duterte juga mengarahkan jabatan kebajikan masyarakat dan buruh untuk mengambil langkah yang dapat mengurangkan beban perintah kuarantin itu ke atas perniagaan kecil dan pekerja dengan gaji harian.

Berdasarkan angka terkni jabatan kesihatan, negara itu mencatatkan 142 kes positif Covid-19 dengan 12 kematian.

Jurucakap Presiden, Salvador Panelo sebelum itu menerangkan bahawa di bawah kuarantin komuniti itu kuarantin di rumah akan dilaksanakan, pengangkutan akan digantung, agihan makanan dan keperluan lain akan dibuat serta kehadiran pasukan beruniform untuk menguatkuasakan prosedur kuarantin itu.

Secara efektifnya, ia membabitkan perintah berkurung ke atas pulau yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai iaitu 57 juta orang.

“Kami sudahkan melaksanakan kuarantin ini di Manila dua hari lalu dan ia diperluaskan ke seluruh pulau Luzon,” katanya.

Langkah itu merupakan yang paling agresif dalam kalangan negara Asia yang kini bergelut menangani wabak Covid-19 yang kini sudah menjangkiti 164,000 orang dan sekurang-kurangnya 6,500 maut. – ALJAZEERA

(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button