Luar Negara

Filipina berkabung atas kematian bekas presiden Fidel Ramos

RAKYAT Filipina berkabung atas kematian Presidennya yang ke-12, Fidel Ramos, 94.

Ramos yang meninggalkan pengaruh besar di negara itu merupakan pegawai tentera disegani dan penjawat awam tersohor kerana membawa kestabilan politik ke Filipina dan memperkasa ekonomi rakyatnya.

Beliau menggantikan Corazon Aquino yang pernah dibantunya semasa Revolusi Kuasa Rakyat untuk menjatuhkan rejim Presiden Marcos.

“Keluarga Ramos dengan penuh dukacita mengumumkan pemergian bekas presiden Fidel Valdez Ramos,” lapor Agensi Berita Filipina yang memetik kenyataan rasmi ringkas keluarganya.

Dilahirkan pada 18 Mac 1928, di Lingayen, Pangasinan, Ramos berkelulusan Akademi Tentera AS di West Point, New York, pada 1950, akan terus dikenang kerana beberapa pencapaian penting sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Antaranya termasuk mencari penyelesaian kepada masalah bekalan tenaga elektrik yang sering terputus di negara itu berikutan kekurangan tenaga, dan menandatangani perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menamatkan konflik bersenjata di Mindanao.

Ramos yang berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan tentera dari 1986 hingga 1988, dan Setiausaha Pertahanan Negara dari 1988 hingga 1991, juga berjaya mematahkan beberapa percubaan rampasan kuasa tentera untuk menggulingkan kerajaan presiden Aquino.

Keluarga Ramos dijangka mengumumkan kelak upacara penghormatan dan pengebumian mendiang. – SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button