fbpx
Hiburan

Masihkah Ada Tempat Untuk Filem Melayu Di Pawagam?

KUALA LUMPUR – Kaki wayang amat teruja apabila filem yang dinanti-nantikan masuk panggung. Dalam minggu ini sahaja, filem Melayu Pusaka ditayangkan. Sebelum itu, filem Geran dan Sangkar (sekadar menyebut beberapa judul filem Melayu).

Pusaka lakonan ‘pertama’ Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih popular dengan panggilan Ogy Ahmad Daud membawa watak seram yang selama ini tidak pernah dilakonkannya.

Sebenarnya bukan soal watak seram lakonan Kak Ogy yang mahu diketegahkan oleh penulis tetapi berdasarkan pengamatan, filem-filem Melayu ‘sakit’ nak bertahan lama di panggung-panggung wayang disebabkan banyak faktor menolak yang menanti untuk ‘memancung’ filem Melayu.

Kalau diimbas kembali, suatu ketika dahulu sekitar tahun 1970an dan 1980an, ada banyak panggung wayang di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Bagi anak-anak generasi hari ini yang mungkin tidak tahu wujudnya panggung Rex di Jalan Silang, Odean di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Pavilion di Jalan Bukit Bintang, Collesium di Jalan Ipoh/Chow Kit Road dan Cathay.

Panggung Colesium lazimnya menayangkan filem-filem Tamil dan Bollywood manakala panggung-panggung lain yang disebutkan di atas, menayangkan filem-filem Melayu, Inggeris dan juga filem-filem kungfu Kantonis.

Pawagam P.Ramlee juga pernah wujud iaitu di belakang bangunan UMNO lama di Jalan Chow Kit. Sekarang, tahun 2019, semua ini tinggal nostalgia.

Bagi anak jati Kuala Lumpur, nama-nama panggung tersebut tidak asing lagi kerana di sanalah tempat kami menonton filem atau tengok wayang. Istilah tengok wayang amat sinonim dengan generasi yang dilahirkan tahun 1060an dan 1970an.

Hari ini, di bandaraya Kuala Lumpur, hanya lima panggung yang dikuasai oleh pihak tertentu. Syarat wajib tayangnya pula untuk filem-filem Melayu, perlulah capai kutipan pecah panggung.

Itu sebabnya ada penerbit filem yang perlu bertindak luar kotak untuk memastikan filem terbitan mereka mencapai kutipan pecah panggung dengan syarat tayangan wajib dalam tempoh tertentu.

Bagi anak-anak seni yang terus memperjuangkan filem, mereka mengharapkan filem Melayu yang ditayangkan di pawagam-pawagam panjang umurnya. Bukan pendek umur.

Malangnya, sukar untuk melihat filem Melayu di pawagam ditayangkan lebih lama daripada durasi hari yang diletakkan oleh pihak pengendali panggung.

Alasan mereka (pihak panggung) buat bisnes. Sudah tentu kalau panggung kosong, mana nak datang untung. Tidak seperti filem-filem Hollywood yang durasi tayangannya boleh mencecah berbulan.

Kalau ditanya kepada anak seni seperti Fauziah Nawi, pasti beliau mahu tayangan filem Melayu di pawagam-pawagam mendapat sambutan daripada penonton yang kaki wayang.

Begitu juga jika ditanya kepada para pelakon filem yang pasti inginkan filem lakonan mereka ditayang lebih lama walaupun menyedari hakikat, sukar untuk melihat orang kita sokong filem kita.
Anak-anak seni dalam dunia lakonan filem tentu mahu melihat filem Melayu mendapat perhatian. Seperti mana gerakan #BMF (Buy Muslim First), apa kata kita didik diri kita untuk Watch Malay Filem First (WMFF)? – SUARA MERDEKA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button