BeritaPendidikan

Wanita berperanan besar di dalam bidang pendidikan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa dalam bidang pendidikan, terbukti kaum wanita telah memainkan peranan penting seiiring dengan kaum lelaki dalam membentuk warganegara dan generasi yang sihat, kompeten dan berkebolehan dalam pelbagai aspek. Kaum wanita juga mampu mendidik anak-anak ini sejak di peringkat Kelas Tadika hinggalah ke peringkat Pusat Pengajian Tinggi dengan baik.

Dalam konteks wanita sebagai ibu, dapat dilihat bahawa generasi yang terbentuk menerima pengaruh yang berkesan daripada didikan dan sentuhan kasih sayang ibu. Dalam bidang akademik misalnya, rata-rata pelajar menyatakan peranan dan tunjuk ajar ibu menjadi alat yang ampuh dan berkesan dalam mencapai kejayaan.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan merasmikan Webinar “Women in Search of Excellence” (WISE) Siri Ke-6 bertemakan ‘Peranan Wanita dalam Peningkatan Kualiti Pendidikan’ anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) dengan kerjasama
Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pada pagi ini.

Baginda merangkap Penasihat DiRaja YTF menambah bahawa banyak cara yang dapat dilakukan untuk mencari pengalaman, misalnya dengan membaca, mendengarkan pengalaman orang yang telah menjadi ahli atau sukses, menonton video atau dengan melakukan perkara yang seseorang itu suka dan belajar dari titik permulaan sehingga benar-benar mahir dalam bidang tersebut. Dengan berbagai-bagai pengalaman yang diperolehi akan membantu diri memperoleh ilmu yang bukan sahaja bermanfaat untuk meraih kejayaan tetapi berguna kepada orang lain juga.

Untuk Webinar YTF kali ini pihak IPGKPs sebagai hos mengundang ahli-ahli panel terdiri daripada Ketua Jabatan Pusat Sains Liberal Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Sharmini Abdullah, Mantan Guru Cemerlang Gred Khas C, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra Perlis Datin Noridah Yangman dan Mantan Pegawai SISC+ Gred Khas C Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Hajah Zalina Ahmad yang berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan tentang tema yang dipilih. Manakala Pensyarah di IPGKPs Dr Naziroh Ibrahim pula menjadi moderator slot ‘Ulasan Akademik’ yang istimewa melibatkan perkongsian mengenai sistem pendidikan di 11 buah negara lain di dunia.

Majlis Penutupan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah pada sebelah petangnya.

(Visited 368 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button