Ekonomi

FGV teliti cadangan syarikat berkaitan Syed Mokhtar jadi pemegang saham

FGV Holdings Bhd akan meneliti cadangan Perspective Lane (M) Sdn Bhd mengenai potensi sebagai pemegang saham terbesarnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu mendedahkan ia telah menerima sepucuk surat bertarikh 12 Oktober daripada Perspective Lane yang menyatakan minat menjadi pemegang saham menerusi suntikan aset perladangan ke dalam FGV bagi pertimbangan mendapatkan kepentingan saham.

Apabila selesai, Perspective Lane berpotensi menjadi pemegang saham tunggal terbesar, kata FGV.

“Ahli Lembaga Pengarah ingin memberi jaminan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingannya bahawa ia akan menjalankan kewajipannya dalam perbincangan terbabit dan sebarang perkembangan penting membabitkan perkara ini akan diumumkan,” katanya.

Pada September tahun lepas, sebuah media perniagaan mingguan yang memetik sumber melaporkan bahawa Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memiliki Perspective Lane menerusi pegangan persendirian dalam Restu Jernih Sdn Bhd, berminat untuk membeli 20 peratus kepentingan dalam FGV.

Sementara itu, sewaktu dagangan ditutup hari ini, saham-saham FGV susut 0.93 peratus kepada RM1.07. – BERNAMA

(Visited 287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button