HiburanUncategorized

Festival Budaya Filem China-Malaysia Kembali, Angkat Warisan dan Teknologi Sinema

SEMANGAT sinema sebagai jambatan budaya kembali disemarakkan menerusi edisi kedua Festival Budaya Filem China-Malaysia yang kini berlangsung di GSC Mid Valley Megamall. Acara ini bukan sekadar tayangan filem, sebaliknya menjadi pentas pertemuan dua dunia sinematik—Malaysia dan China—dalam satu pengalaman yang merentas masa, teknologi dan emosi.

Festival anjuran Lomo Pictures Sdn Bhd dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini turut dijayakan bersama GSC International Screens dan China Film Archive. Trico Group serta Hong Jun Capital tampil sebagai penaja utama yang membawakan acara ini dengan penuh gaya dan prestij.

Menampilkan barisan filem yang pelbagai—daripada klasik warisan yang dibaik pulih hingga naskhah moden yang sarat emosi serta forum teknologi canggih seperti XR dan AI—festival ini menjadi platform pertukaran budaya melalui bahasa filem yang bersifat sejagat.

Majlis perasmiannya dirasmikan oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, bersama Dato’ Azmir Saifuddin Bin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS. Turut hadir ialah barisan tetamu kehormat dan penggiat industri budaya dan perfileman.

Dalam ucapannya, Pengerusi Penganjur, Encik Aron Koh menyifatkan festival ini sebagai ruang kolaboratif yang unik untuk para pembikin filem, profesional industri dan peminat muda berkongsi idea serta pandangan. “Setiap filem dipilih dengan teliti untuk mencerminkan kekayaan warisan dan suara kontemporari kedua-dua negara,” katanya.

Antara sorotan program ialah tayangan semula filem bisu legenda The Goddess (1934) lakonan Ruan Lingyu, komedi klasik Hong Kong It’s a Mad, Mad, Mad World, serta filem epik baharu China seperti Creation of the Gods I dan II, komedi romantik Honey Money Phony, dan thriller A Place Called Silence.

Dari sisi Malaysia pula, karya ikonik seperti Sepet, Guang dan Blooms of Happiness membawa perspektif tempatan yang menyentuh hati, sekali gus menampilkan keunikan naratif sinema tanah air kepada penonton antarabangsa.

Festival ini turut menganjurkan sesi forum dan bengkel, termasuk perbincangan mengenai penggunaan teknologi AI dalam filem serta bengkel lakonan bersama pengarah tersohor Clifton Ko. Malah, satu kerjasama strategik turut diumumkan antara Lomo Pictures dan Beijing Tianying Holdings Group Co., Ltd. bagi membangunkan produksi XR bersama, memperkukuh kerjasama teknologi filem antara dua negara.

Edisi kali ini akan diteruskan di Xi’an, China selepas penutupannya di Malaysia pada 8 Jun, dalam usaha memperluas lagi jaringan budaya serantau.

Semua tayangan filem festival boleh dinikmati dengan harga istimewa RM10 melalui laman web GSC, aplikasi mudah alih GSC atau di kiosk terpilih GSC.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button