Nasional

Fesdaya angkat martabat seni, budaya melayu

FESTIVAL Seni dan Budaya (Fesdaya)2022 anjuran Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) bukan sahaja mengangkat martabat seni dan budaya malahan menjadi medan perbincangan intelektual hal bersangkutan bidang berkenaan.

Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad merasmikan Fesdaya 2022 di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali berkata penganjran program dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mendapat sokongan dana menerusi Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Fesdaya dirasmikan oleh Orang Besar Jajahan Muallim , Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Pameran tanjak mendapat perhatian peserta.

Abdul Halim berkata sempena Fesdaya 2022 diadakan Wacana Tokoh Seni Dan Budaya “Kias Dan Kilas Seni” dengan panel tamunya Nara Paduka Haji Muhammad Hanif Haji Hosainel Majidi dan Dato’ Paduka Dr Mohd Rosli Saludin.

Selain itu, katanya, diadakan Pameran Seni dan Budaya yang mengandungi Pameran Lukisan, Pameran Busana dan Makanan, Sepagi Bersama Pelukis, Persembahan Ukelele, Kuiz serta Persembahan Seni dan Budaya.
Diskusi Buku Bingkisan Sastera Melayu Nusantara pula menampilkan panel terdiri daripada Prof. Dr Azhar Wahid dan ialah Dr Nordiana Hamzah yang dipengerusikan oleh Dr. Ariff bin Mohammad yang membicarakan buku Sastera Nusantara.

Cikgu Karmin Abbas dan Dr Ghazali Din membuat persembahan sempena Malam SeNusantara Puisi Budiman Bersenandung.

Beliau berkata Pementasan Seni Budaya : Sitara Sakti di Panggung Percubaan mendapat sambutan warga UPSI. Pementasan ini menggabungkan kerjasama FBK dan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan inisiatif Dr Mohd Amir Mohd Zahari dan Dr Mardiana Ismail.

Sempena Fesdaya 2022, sebanyak 27 kertas kerja dibentang dalam sesi wacana intelektual Seminar International Literatur Nusantara (SiLiN 3.0), manakala Persidangan Antarabangsa Pembangunan Sastera, Seni, Budaya, Bahasa dan Warisan Ketiga (ICDETAH 3.0) menyaksikan pembentangan 27 kertas kerja menarik yang dibentangkan akademia Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Peserta Fesdaya 2022 bersama pelajar yang membuat persembahan Sitara Sakti di Panggung Percubaan.

Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad dalam ucapan penutupan program berkata Fesdaya 2022 dapat mengukuhkan minat masyarakat terhadap seni dan budaya Melayu menerusi diskusi ilmiah yang menarik.

“Saya berterima kasih kepada BUDIMAN yang bekerjasama dengan FBK dan ia memberi impak yang positif dalam mengantarabangsakan seni, budaya dan kesusasteraan Melayu,” katanya.

Peserta persidangan sempena Fesdaya 2022 tekun mengikuti pembentangan kertas kerja dari dalam dan luar negara.

Bagi penggiat seni pantun dari Singapura, Karmin Abbas aktiviti pameran kebudayaan, persembahan dan pembentangan kertas kerja menjadikan FESDAYA satu acara yang gah dari aspek budaya, bahasa, sastera dan akademik.

Abdul Razak Panamalae

“Tidak kurang pula ianya termasuk persembahan seni budaya yang menghibur dan mendidik yang bukan sahaja penuh dengan keilmuan dan hiburan di ruang-ruang khusus, pertemuan minda antara kalangan inteelektual dan akademik, tentu sekali mencetus beberapa idea dan arah tuju yang bermanfaat,” katanya.

Pembentang Indonesia, Dra.Mardiah Mawar Kembare,dari Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Sumatera Utara berpendapat Fesdaya 2022 merajut keindahan pesona jati diri bangsa Melayu serumpun, dan menggaungkan kepada dunia bahawa bangsa Melayu ini mempunyai identiti kemolekan tersendiri.

Dra.Mardiah Mawar Kembare

Pembentang dari Universiti Walailak, Thailand, Abdul Razak Panamalae berpendapat Fesdaya satu program yang sangat bagus, bukan saja dalam konteks memperkenalkan budaya tempatan kepada orang luar tetapi juga sebagai platform pemberdayaan siswa itu sendiri.

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button