Alam SekitarNasionalNegeriRibut

Fenomena air pasang besar di Terengganu membadai kawasan pantai

SELAMAT bercuti di tahun baharu tetapi masyarakat diminta berhati-hati jika berkelah di tepi pantai kerana di beberapa kawasan di Terengganu terjejas ekoran air laut pasang besar yang membadai sebahagian besar kawasan pantai di negeri itu lewat malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, kejadian yang berlaku di daerah Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman menyebabkan air laut melimpah sehingga ke jalan raya dan kawasan kediaman.

“Seperti di pantai di Seberang Takir atau dikenali Pantai Miami di Kuala Nerus, limpahan air laut menyebabkan terdapat kesan-kesan hakisan dan juga batu-batu kecil yang telah menghempas ke pinggir jalan.

“Demi keselamatan orang ramai, kami telah meminta pihak polis untuk menutup jalan di sekitar kawasan pantai tersebut.

“Kejadian limpahan air laut juga berlaku sekitar pantai lain di Kuala Nerus dan Pantai Teluk Lipat di Dungun,” katanya hari ini.


Selain itu, katanya, fenomena tersebut juga menyebabkan 36 orang daripada sembilan keluarga di Kuala Besut dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Pantai akibat kediaman mereka dinaiki air.

Bagaimanapun difahamkan di seluruh Terengganu tidak hujan lebat semalam, hanya renyai-renyai yang berlaku sekejap-sekejap sahaja tetapi ia merupakan impak daripada angin yang sangat kencang, katanya.

Sementara itu, Che Adam berkata, keadaan angin kencang antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 hingga 2.7 meter dijangka akan berlarutan sehingga Rabu (6 Jan) terutama di kawasan Kuala Terengganu.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan pantai sepanjang tempoh tersebut dan juga sepanjang musim Monsun Timur Laut ini, sama ada siang atau malam bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Untuk malam ini juga, kami akan minta pihak polis menutup jalan di sekitar Pantai Seberang Takir kerana kami menjangkakan fenomena yang sama akan berlaku,” katanya. – SM

 

(Visited 237 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button