Ekonomi

Felda sedang berunding dengan MOF untuk terbitan sukuk

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan bagi menerbitkan sukuk jaminan kerajaan untuk melaksanakan penstrukturan semula pinjaman.

Sekiranya berjaya, ia akan menjadi penerbitan sukuk kedua bagi Felda selepas terbitan pada 2018 bernilai RM2 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata selain itu, kerajaan telah menubuhkan pasukan khas yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan kemandirian dan kemampanan kewangan Felda demi manfaat warga peneroka.

“Pasukan ini telah mengadakan sesi libat urus dengan Lembaga Pengarah Felda, Pengurusan Kumpulan Felda, FGV dan pelbagai kumpulan berkepentingan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas berkaitan potensi dan penyelesaian isu berkaitan Felda,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jalaluddin Haji Alias (BN-Jelebu) mengenai perkembangan pelaksanaan kertas putih Felda setakat suku kedua 2020.

Mustapa berkata pasukan khas tersebut dijangka membentangkan laporan berkaitan pada Ogos 2020.

Beliau juga berkata kertas putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April tahun lepas telah menggariskan pelbagai strategi untuk dilaksanakan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

Antara strategi utama yang telah dan sedang dilaksanakan adalah menambah baik tadbir urus  korporat, menangani masalah aliran tunai dan merasionalisasikan pelaburan dan kepentingan, katanya.

“Pelaksanaan kesemua strategi tersebut disokong melalui peruntukan kewangan termasuk pemberian jaminan kerajaan bernilai RM6.23 bilion yang diberikan dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Beliau berkata peruntukan tersebut meliputi program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil  baharu bernilai RM1 bilion serta penyiapan projek perumahan generasi baharu Felda atau PGBF yang terbengkalai pada RM250 juta.

Ia juga untuk menghapuskan faedah hutang kebun peneroka berjumlah RM2 bilion, pemberian pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka berjumlah RM480 juta dan pemberian jaminan ke atas penstrukturan semula pinjaman Felda sebanyak RM2.5 bilion, katanya. – BERNAMA

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button