Politik

Veveonah: Kadir mahu Parlimen ‘cela’ 2 timbalan menteri

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk A. Kadir Jasin mencadangkan agar Jawatankuasa Tatatertib Parlimen ‘mencela’ dua timbalan menteri yang mendakwa Veveonah Mosibin berbohong.

Jelas Kadir, permohonan maaf dan pernyataan kekesalan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abdul Rahim Bakri tidak mencukupi.

Kadir turut mencadangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin memecat kedua-dua timbalan menteri terbabit.

Tegas beliau, pengesahan oleh Pengerusi Lembaga Universiti Malaysia Sabah, Masidi Manjun bahawa Veveonah tidak menipu memperlihatkan kedua-dua Ahli Parlimen Barisan Nasional itu tidak menyatakan kebenaran.

“Permohonan maaf dan pernyataan kekesalan tidak cukup. Mereka wajib dicela (censure) oleh Jawatankuasa Tatatertib Parlimen. Mereka telah menyebabkan pembohongan berlaku di dewan yang mulia itu.

“Seelok-eloknya mereka dipecat sahaja daripada jawatan masing-masing. Tetapi saya tidak yakin Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, melihat perbuatan mereka sebagai serius atau berani bertindak ke atas wakil-wakil Umno itu,” kata Kadir.

Kadir berkata, kenyataan kedua-dua ahli politik itu menyentuh harga diri seorang remaja yang sepatutnya mereka bela.

“Sebaliknya mereka bersekongkol cuba menegakkan benang kering dengan menuduh pelajar terbabit, Veveonah Mosibin, berbohong untuk mencari publisiti di media sosial.

“Benang kering tidak boleh ditegakkan. Ia akan berbuai ditiup angin. Hanya benang basah boleh diluruskan. Sebab itu kita basahkan hujung benang dan pintal untuk memasukkannya ke dalam lubang jarum,” kata Kadir.

Zahidi dan Abdul Rahim sebelum ini mendakwa Veveonah menipu apabila menerbitkan video beliau memanjat pokok untuk mendapatkan talian internet untuk menjawab soalan peperiksaan secara dalam talian.

Zahidi memohon maaf dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai pelajar Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.

Terdahulu, media melaporkan Zahidi berkata hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Veveonah dalam laporan sebuah portal kemudian menafikan kenyataan Zahidi dan mendakwa dia memang mengambil peperiksaan seperti dalam video itu.

Jun lalu, video Veveonah seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian menjadi tular di media sosial.

Video yang dikongsi oleh Veveonah di saluran YouTubenya,  Veveonah M. mendapat lebih 700,000 tontonan. -SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button