
FCoEE lonjak pencapaian pendidikan di Perlis
KUALA PERLIS 13 Jan. – Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) memainkan peranan yang sangat penting dalam sama-sama menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Perlis pada Mei 2024 tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 0.08% iaitu daripada 4.82 pada tahun 2022 kepada 4.74 pada tahun 2023.
FCoEE telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik, agensi dan organisasi dalam merangka program-program akademik kepada pelajar dan guru sekolah di Negeri Perlis termasuklah 36 program yang memberi impak besar kepada pencapaian yang membanggakan ini yang menyumbang kepada perkembangan pendidikan di negeri Perlis.
Sebanyak 60 program telah dijalankan pada tahun 2022 sehingga 2024 termasuk program-program bersiri seperti Professional Learning Community (PLC) bagi guru-guru, AI & Robotic Educational Club (AiRED), Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), Program Transformasi Intelek SPM dan Geran Penyelidikan data tertumpu Perlis.
Melalui program teknologi dan pendigitalan seperti Kelab AiRED yang ditubuhkan, pelajar-pelajar sekolah menengah di negeri Perlis memperoleh pendedahan awal Kecerdasan buatan (AI) dan Robotik melalui ‘immersive leaning’ seperti pengaturcaraan, pengecaman suara, pengesanan imej, dan pergerakan robot.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Husin kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Majlis Apresiasi FCoEE 2024 yang diadakan di Ocean Glow, Putra Brasmana, Kuala Perlis.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis ini dianjurkan bagi meraikan kejayaan dan komitmen semua pihak bertungkus lumus dalam menjayakan pelbagai inisiatif FCoEE bagi sepanjang tahun 2024.
Dr. Kamarudin dalam ucapan aluannya berkata, penubuhan FCoEE ini adalah pemikiran Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung FCoEE yang mempunyai visi dan misi meningkatkan dan anjakan perubahan dalam sektor pendidikan rakyat negeri Perlis.
Pengerusi FCoEE itu turut menyatakan, FCoEE memainkan peranan sebagai organisasi yang membantu sistem pendidikan sedia ada dengan memberi nilai tambah, menyokong komuniti pendidikan mampan, mengintegrasikan pendidikan pintar dan tradisional, serta menekankan program pendidikan praktikal untuk melahirkan masyarakat Perlis yang berdaya saing dan berkebolehpasaran tinggi.
“Pembangunan data berkualiti melalui insentif geran penyelidikan dan pengumpulan amalan baik adalah dokumentasi yang penting sebagai data penggerak perancangan strategik bagi negeri Perlis serta FCoEE sendiri. 15 geran penyelidikan telah berjaya mengeluarkan 31 penerbitan jurnal pada tahun 2023 dan penyerahan 36 geran telah diadakan pada pertengahan tahun 2024”, tambah beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis apresiasi tersebut dan menyempurnakan pengurniaan sijil dan cenderahati kepada rakan strategik FCoEE iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Institute of Visual Informatics (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Empat orang individu yang turut menerima pengurniaan tersebut daripada Baginda adalah Ahli Jawatan Kuasa Tabung Amanah FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Husin, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Halina Abd Wahid, Naharudeen Othman dan Mazlan Zolkifli.
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah pula berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil dan cenderahati kepada Penasihat Program FCoEE, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Datin Noridah Yangman, Dr. Bibi Noraini Mohd Yusof dan Prof. Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir serta wakil UniSZA, Datuk Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff.
Raja Puan Muda Perlis turut berkenan mengurniakan sijil dan cenderahati kepada Zaharin Haris dari Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, Wan Nor Azley Wan Chik dari Jabatan Penyiaran Perlis, Nurul Syahirah Zulkifli dari Bernama Perlis, Siew Chin dari Syarikat LK Marketing (M) Sdn. Bhd. dan Zambri Mat dari syarikat Iman Transtour.
Program anjuran FCoEE pada tahun 2024 telah melibatkan seramai 394 orang guru terlatih, 808 orang pelajar tingkatan empat dan lima, 100 orang pelajar sekolah rendah, 43 orang pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf, 336 orang mahasiswa serta 46 orang ibu bapa bagi pelbagai inisiatif FCoEE sepanjang tahun.
FCoEE akan terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah Kerajaan Negeri, Institusi Pengajian, Universiti, agensi-agensi dan beberapa syarikat persendirian yang sentiasa komited membantu menjayakan setiap program FCoEE.