Hiburan

Fazura Bangkit Sebagai Ibu Tunggal, Jadi Inspirasi Wanita Lalui Perceraian

PETALING JAYA – Pelakon terkenal Nur Fazura tampil memberi semangat kepada wanita yang melalui fasa perceraian, selepas perkongsian ketabahannya sebagai ibu tunggal mencetuskan inspirasi ramai.

Fazura, 41, berkata rasa “kosong” selepas perceraian adalah petanda seseorang wanita benar-benar nekad dan sudah bersedia untuk melangkah ke fasa hidup baharu.

“Awak akan menjadi kuat dengan izin dan bantuan Allah. Jika ada rasa kosong, itu petanda memang sudah nekad sehabisnya. Itu adalah yang terbaik, sekurang-kurangnya saya boleh katakan untuk diri saya sendiri,” tulisnya dalam satu perkongsian di platform Threads.

Perkongsian itu dibuat sebagai respon kepada seorang wanita yang berkongsi pengalamannya baru sahaja bercerai secara baik dan berasa kosong meskipun lega dengan keputusan tersebut. Wanita itu turut meluahkan harapan agar dapat memiliki kekuatan seperti Fazura.

Fazura, bekas isteri kepada pelakon Fattah Amin, turut mendoakan agar wanita berkenaan dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan sejati.

“Semoga dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan sejati,” tulisnya.

Fazura dan Fattah bercerai secara baik dengan talak satu pada 7 Oktober tahun lalu selepas tujuh tahun berumah tangga. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia lima tahun.

Ketabahan Fazura meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal terus meraih perhatian dan sokongan ramai, menjadikannya simbol kekuatan wanita dalam menghadapi ujian hidup dengan penuh berani dan bermaruah.

Sumber : Refleks!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button