Nasional

Proses kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen perlu dipercepat – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata proses mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen perlu dipercepatkan bagi memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif.

Perdana Menteri berkata, usaha transformasi Parlimen itu juga penting bagi mengekalkan demokrasi dan kebebasan bersuara.

“Ia harus dipercepatkan, Peguam Negara sudah maklum (draf undang-undang), ada perkara yang sedang diteliti dan perlu dicerakinkan agar tidak ada sebarang masalah apabila kita bentangkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.

Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada 1963, namun ia dimansuhkan pada 1992.

Sementara itu, Anwar mengingatkan Ahli Parlimen supaya sentiasa menitikberatkan soal akhlak walaupun berbeza pandangan ketika sedang berbahas di dalam Parlimen.

“Boleh berhujah, boleh berbeza pendapat, tetapi tak perlu biadap dan kasar, tidak ada agama yang tidak bicara soal nilai, soal akhlak tidak harus dikesampingkan dalam kita bicara soal pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, isu sekolah daif yang memerlukan peruntukan segera dan menangani miskin tegar menjadi antara fokus yang diberikan perhatian dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

Semalam Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan 830 sekolah yang kebanyakannya terletak di Sabah dan Sarawak dikenal pasti mempunyai blok bangunan daif yang dikategorikan sebagai bangunan berskala enam dan tujuh iaitu ditakrifkan tidak selamat serta memerlukan penggantian atau pembangunan semula.

Skala enam merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala skala tujuh merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). – BERNAMA

(Visited 291 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button