Politik

Empat Ketua Bahagian, 500 ahli umum keluar parti Putra Melaka

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 11 April – Tamparan hebat buat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang ditubuhkan pada 2019
apabila empat Ketua Bahagian serta 500 ahli parti itu mengambil keputusan keluar daripada parti itu
berkuatkuasa serta merta.

Perkara tersebut diumumkan oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan Putra Negeri Melaka, Profesor Dr. Mohd.
Aluwi Sari yang turut mengemukakan surat perletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya
bertarikh 9 April lalu.

Menurutnya, keputusan yang diambil itu susulan daripada keputusan mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT)
parti itu pada 1 April mengumumkan membubarkan Badan Perhubungan Putra Melaka.

Jelasnya, empat Ketua Bahagian yang mengumumkan keluar parti selain Hang Tuah Jaya ialah Jasin, Kota
Melaka dan Alor Gajah manakala Masjid Tanah serta Tangga Batu terus kekal bersama Putra.

Beliau berkata, menerusi surat bertarikh 5 April ditandatangani Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad
Zakaria telah diterimanya memaklumkan mengenai pembubaran tersebut.

“Ini bermakna tiada lagi Jawatankuasa Perhubungan Negeri dan semua urusan parti di peringkat negeri, sayap
dan cawangan yang diuruskan kepada Setiausaha Agung.

“Jawatan Pengerusi yang saya pegang telah ditarik balik namun mengekalkan jawatan saya selaku Ketua
Bahagian Hang Tuah Jaya.

“Bagaimanapun, saya bersama tiga Ketua Bahagian yang lain bersepakat untuk keluar terus daripada Putra
bersama 500 ahli lain kerana sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali,”
ujarnya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Aluwi yang turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November tahun
lalu namun tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu berkata, alasan yang diberikan oleh
mesyuarat ADT membubarkan Badan Perhubungan Putra negeri tidak dapat diterimanya.

Jelasnya, alasan yang diberikan iaitu minit mesyuarat Agung Tahunan bahagian-bahagian tidak dihantar
mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan mengakibatkan ada beberapa bahagian yang telah wujud sudah
terbatal.

Ketika ditanya sama ada beliau serta rakanya yang lain akan menyertai parti lain Mohd. Aluwi berkata,
setakat ini beliau belum memikirkan mengenai perkara tersebut.

Malah beliau turut mendakwa dua lagi negeri iaitu Perak dan Johor juga turut dikenakan tindakan pembubaran
Badan Perhubungan Putra negeri.

Untuk rekod, dalam PRN Melaka tahun lalu, Putra menampilkan lima calon bertanding Pengkalan Batu, Gadek,
Paya Rumput, Sungai Rambai dan Duyong namun kesemua tewas serta hilang wang deposit.

habis…/

 

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button