Agama

Fatwa Liberal-Plural: Menteri Agama Akan Teliti Implikasi Keputusan Mahkamah Persekutuan

Putrajaya, 19 Jun 2025 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar hari ini menyatakan pendirian kerajaan yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam cabaran terhadap fatwa berkenaan fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014.

Beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut akan diteliti secara menyeluruh agar kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.

“Fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam terhadap isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” ujar beliau.

Menteri Agama juga menekankan pentingnya kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama bagi memastikan fungsi institusi fatwa kekal dihormati dalam sistem perlembagaan negara.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pentadbiran hal ehwal Islam di bawah Kerajaan MADANI akan dilaksanakan secara adil, berlandaskan prinsip syura, ilmu dan berpaksikan undang-undang.

“Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” tambah beliau.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan terhadap SIS pada 2014 adalah tidak sah dari segi undang-undang, sekali gus memberi kesan besar terhadap peranan autoriti agama negeri dalam pengisytiharan sesuatu fahaman sebagai menyeleweng.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button