Hiburan

Fattah Amin Nafi Nikah Dengan Amira Othman 25 Mei Ini

PELAKON popular, Fattah Amin menafikan dakwaan bahawa beliau akan melangsungkan perkahwinan dengan penyanyi Amira Othman pada 25 Mei ini.

Menurut laporan BH Online yang dipetik oleh portal hiburan Rotikaya, Fattah menyifatkan dakwaan itu sebagai sekadar khabar angin dan spekulasi peminat yang mengaitkan tarikh tersebut sebagai ‘cantik’ untuk dijadikan hari bahagia.

“Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya tarikh tersebut. Mungkin ada yang sengaja membuat andaian disebabkan tarikh 25 Mei yang dilihat menarik. Hakikatnya, tiada perancangan untuk berkahwin pada tarikh itu,” katanya kepada media.

Tambah Fattah, pertemuan antara keluarganya dengan keluarga Amira baru-baru ini di Singapura juga hanyalah secara kebetulan apabila kedua-dua keluarga dijemput menghadiri program motivasi yang sama.

“Pertemuan itu bukan dirancang untuk urusan merisik atau pertunangan seperti yang didakwa. Kami hadir ke program yang sama dan kebetulan duduk berhampiran. Itu sahaja,” jelasnya lagi.

Fattah turut menegaskan bahawa hubungan mereka hanyalah sebagai rakan sekerja dan tiada sebarang hubungan istimewa seperti yang sering digembar-gemburkan peminat di media sosial.

Meskipun ramai peminat berharap mereka menjadi pasangan kekasih sebenar selepas kerap bergandingan dalam beberapa projek, Fattah meminta agar semua pihak menghormati privasi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

Amira Othman juga sebelum ini pernah menafikan mereka menjalinkan hubungan cinta dan menyifatkan Fattah sebagai seorang pelakon profesional yang banyak membantunya dalam lakonan.

Spekulasi mengenai hubungan mereka mula tercetus apabila pasangan itu kerap dilihat menghadiri acara bersama dan memuat naik gambar berdua di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button