Ekonomi

Selangor sekali lagi minta kerajaan Pusat keluarkan arahan tutup kilang bukan perlu

Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian sebelum ini iaitu menggesa kerajaan Pusat supaya menutup beberapa sektor ekonomi dan industri di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kekal dengan pendirian sedemikian selepas melihat kes jangkitan baharu Covid-19 di negeri ini tidak turun seperti diharapkan.

“Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini (semalam), saya telah mengesyorkan beberapa cadangan untuk dipertimbang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pertama, mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan kecuali yang benar-benar penting sahaja sehingga tamat pelaksanaan PKPD,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya malam tadi.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan sebanyak 8,868 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam, iaitu kes harian kedua tertinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bulan lalu.

Selangor masih lagi menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi, iaitu 4,152 kes semalam berbanding 3,119 kes pada Rabu.

Menurutnya, langkah tersebut mampu menurunkan kes baharu di Selangor dan sekiranya kes semakin berkurang, negeri tersebut dapat memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti beberapa negeri lain.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbang perkara tersebut kerana ramai pihak yang terjejas  ketika ini.

“Kerajaan negeri melihat matlamat pelaksanaan PKPD iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara belum dicapai.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

(Visited 417 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button