NasionalRencah Hidup

Farah Roslan-Doktor wanita dari Malaysia cipta hijab pakai buang untuk pembedahan di UK

DOKTOR Farah Roslan yang sedang menjalani latihan pembedahan di Hospital Besar Northampton, United Kingdom (UK) diiktiraf sebagai pencipta hijab pakai buang yang menepati syarat penggunaan dalam prosedur pembedahan perubatan.

Rekaan itu dihasilkan oleh Farah untuk bekerjasama dengan Hospital DiRaja Derby dan kini diiktiraf sebagai sebahagian peralatan pembedahan yang dibenarkan di UK.

Ciptaannya itu bukan sahaja mengharumkan namanya sebagai seorang doktor Islam dari Malaysia tetapi juga umat Islam di UK mengatakan keyakinan mereka terhadap Farah untuk menjadi inspirasi penduduk Islam di UK.

Farah berkata, idea ciptaan beliau dicetuskan apabila mendapati ramai pelajar latihan pembedahan yang berhijab sanggup menolak program latihan praktikal kerana tidak dibenarkan memasuki pembedahan dengan memakai hijab biasa.

Menyedari realiti pahit ini, Farah telah berusaha untuk mereka bentuk hijab menggunakan bahan gred perubatan yang menutup aurat, sama seperti hijab yang lazimnya digunakan dalam kegiatan seharian.

Rekaan itu menjadi bahan bualan di UK dan juga menjadi inspirasi kepada pelajar Muslim untuk mengusahakan yang terbaik dalam menjalankan latihan tanpa membelakangkan tanggungjawab agama.

Dalam satu temu ramah bersama Islam Channel UK, Farah dikatakan didiskriminasi bukan sahaja sebagai orang asing di UK malah diskriminasi terhadap seorang wanita beragama Islam.

Oleh itu, pengiktirafan yang diberikan ke atas Farah boleh dikatakan sebagai sesuatu yang luar biasa.

Antara pengiktirafan yang diterima oleh Farah  ialah Anugerah Doktor Terbaik Yayasan Nottingham, Anugerah Kepimpinan Perubatan NHS.

Terkini, Farah dicalonkan sebagai penerima Anugerah Bishop Muslim UK.

“Saya tidak berniat untuk menjadi apa-apa pengaruh pada yang lain. Cuma saya terkesan apabila ramai pelajar mengambil keputusan untuk menolak latihan praktikal kerana tidak dibenarkan memakai hijab biasa di dalam bilik pembedahan.

“Rekabentuk hijab saya tidaklah begitu rumit, hanya seolah topi pembedahan yang dipanjangkan dan mudah diguna pakai.” kata Farah dalam temuramah itu.

Tambah Farah, “tetapi kini, rekaan hijab saya itu dapat menjadi pencetus semangat kepada semua doktor muslim untuk terus berusaha memastikan segala pengalaman latihan dan kegiatan bidang perubatan mereka tidak bercanggah dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

“Pada saya, Islam adalah cara hidup. Walaupun kami berlatih lebih 13 jam sehari, alhamdulillah setakat ni saya masih mampu berpuasa di bulan Ramadan dan menjalankan segala tanggungjawab lain sebagai seorang Muslim.

“Segalanya datang daripada usaha kita sendiri dan izin Allah SWT.” – SM

(Visited 454 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button