Negeri

485 guru KAFA, pegawai masjid, jurunikah diarah suntik vaksin

Seramai 485 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah telah diarahkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan itu kepada semua individu berkenaan supaya menjalani suntikan tersebut esok.

Menurut Mohd. Shahzihan, pihaknya telah memberikan ruang dan masa kepada individu terbabit supaya mengambil vaksin Covid-19.

Tegas beliau, JAIS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar terhadap arahan tersebut.

Program vaksinasi khas itu dijadualkan berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam esok.

“JAIS tidak bertindak kejam kerana masih memberi ruang dan masa kepada individu tersebut sebelum ini.

“Namun, jika alasan mereka tidak dapat diterima untuk mengambil vaksin, maka tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah berkenaan supaya hadir mendapatkan suntikan vaksin.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir rakyat Selangor yang menolak vaksin Covid-19 dan menyifatkannya sebagai satu usaha yang boleh menggagalkan usaha mencapai imuniti kelompok.

Seramai 562 orang di negeri ini dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun kempen pemberian vaksin galak dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Daripada jumlah itu, dalam sektor pendidikan seramai 268 adalah guru sekolah kebangsaan, sekolah menengah (182) dan guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) (95). Bagi kategori guru KAFA, seramai 326 orang dikenal pasti  belum menerima suntikan vaksin.

Sementara dalam sektor pengurusan agama Islam pula, seramai 17 orang dilapor enggan menerima vaksin mereka adalah pegawai masjid (11 orang) serta jurunikah (6 orang) dan dalam sektor itu juga dilaporkan seramai 20 orang belum menerima suntikan.

Baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang bertitah, akan mengambil tindakan terhadap mereka enggan berbuat demikian kerana khuatir sejumlah besar kematian di negeri ini adalah dalam kalangan bukan penerima vaksin.-SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button