Sukan

Hafizh ikat kontrak bersama NTS RW Racing GP

TEKA-TEKI berhubung masa depan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya terjawab apabila dia disahkan menyertai sebuah pasukan berpangkalan di Belanda iaitu NTS RW Racing GP untuk musim 2021.
Hafizh bakal bergandingan dengan pelumba remaja dari Belgium, Barry Baltus yang berusia 16 tahun.

Meneliti latar belakang pasukan yang bakal disertai Hafizh, cabaran besar menanti pelumba berusia 26 tahun itu bagi menguji jentera NTS yang merupakan sebuah motosikal buatan pengeluar dari Jepun.

Berdasarkan pencapaian NTS RW Racing GP bagi musim ini yang mempertaruhkan dua pelumba muda dari Belanda, Bo Bendsneyder serta Piotr Biesiekirski dari Poland, keputusan pasukan itu hanyalah sederhana dan mereka sememangnya memerlukan pelumba berpengalaman seperti Hafizh bagi menguji jentera NTS dalam saingan Moto2.

Namun pasukan Belanda itu bukanlah pendatang baharu dalam kejuaraan motosikal dunia dan mereka pernah bekerjasama dengan beberapa pelumba berbakat seperti mendiang Luis Salom dan Brad Binder dalam saingan Moto3 sebelum beralih angin kepada perlumbaan Moto2 pada 2017.

Pengurus pasukan NTS RW Racing GP, Jarno Janssen melahirkan rasa gembiranya dapat bergandingan dengan pelumba Malaysia itu, musim depan.

“Kami berbangga dan gembira dapat menandatangani Hafizh, yang bukan sahaja seorang pelumba berpengalaman dan berbakat, tetapi dia juga seorang yang sangat baik hati,” kata Janssen dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Mengulas mengenai pencapaian semasa NTS RW Racing GP, Janssen berkata, pasukannya itu semakin mempamerkan peningkatan prestasi minggu demi minggu, tetapi mereka masih berusaha keras dalam membangunkan prestasi motosikal.

“Maklumat dan maklum balas yang diberikan pelumba seperti Hafizh sangat penting dalam proses ini.

“Kami memerlukan pelumba seperti Hafizh untuk membantu kemajuan projek kami dan meraih pengalaman sebanyak mungkin.

“Kami tidak sabar untuk memulakan aksi musim depan dan kami akan berusaha untuk membuat anda semua bangga dengan kami terutamanya peminat di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Hafizh turut berkongsi perasaan sama dengan Janssen setelah menandatangani kontrak bersama pasukan baharunya itu.

“Saya gembira dapat kekal dalam Moto2 dan menyertai NTS RW Racing GP. Saya sedar berapa banyak usaha perlu dilakukan untuk membangunkan sebuah motosikal baharu, tetapi saya yakin dengan projek ini.

“NTS dan pasukan telah banyak meningkatkan prestasi jentera dalam tempoh singkat menerusi langkah demi langkah. Saya berharap dengan pengalaman dan maklum balas yang saya berikan, kami mampu mengorak langkah lebih jauh,” jelasnya.

Hafizh juga yakin, dia dan pasukan dapat menjalinkan kerjasama dengan baik.

“Saya sendiri tidak berada pada prestasi terbaik musim ini, sebab itu, saya sangat gembira dan bersyukur dengan keyakinan yang NTS RW Racing GP berikan kepada saya,” tambah Hafizh.

NTS RW Racing GP akan memulakan musim baru dengan sesi ujian bakal diadakan pada 26 dan 27 November ini di Jerez. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button