Hiburan

Faizal Tahir berundur selepas 17 tahun dalam bidang seni

PENYANYI dan penggubah lagu, Faizal Tahir mengambil keputusan untuk berundur selepas lebih 17 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni.

Katanya beliau mahu berehat bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Memetik laporan BH Online, Faizal berkata, itu tidak bermakna dia akan meningggalkan terus dunia hiburan, cuma, apa yang mahu dilakukan adalah meluangkan masa bersama keluarga.

“Sejak projek Assalamualaikum pada 2015, saya tiada rehat langsung. Penerbitan album Anatomi, Rojak, Qibla dan semua projek yang lain memberi kepuasan, Alhamdulillah.

“Tetapi saya benar-benar sudah letih dengan kerja muzik yang saya lakukan. Disebabkan itulah, banyak perkara saya terlepas pandang dan kurang fokus terhadap keluarga,” katanya.


Faizal yang memiliki keluarga besar iaitu enam orang anak berkata, mereka memerlukan perhatiannya.

“Sedar tidak sedar, anak pertama saya akan tamat sekolah, tidak lama lagi. Saya beritahu isteri, saya rasa bersalah kerana tidak banyak habiskan masa dengan anak.

“Jadi, keputusan ini lebih kepada naluri seorang ayah. Inilah masanya untuk saya bayar balik kepada keluarga sebelum terlambat.

“Namun, saya tidak fikir boleh melepaskan muzik begitu sahaja. Muzik adalah jiwa saya. Apabila tiba masa, saya akan aktif semula,” katanya.

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button