Sukan

Faisal Halim Kecewa Kes Serangan Asid Dihenti Tanpa Tindakan

SETAHUN selepas diserang dengan asid dalam kejadian yang mengejutkan peminat bola sepak tanah air, pemain sayap kebangsaan Faisal Halim kini berdepan kekecewaan baharu apabila dimaklumkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam yang mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha, berkata keputusan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi bertarikh 18 Februari dan diterima pihak mereka dua hari kemudian. Ia menyatakan bahawa hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemukan sebarang bukti atau petunjuk yang boleh mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek.

“Sebagai mangsa, beliau sememangnya kecewa. Namun Faisal faham bahawa proses siasatan dan pendakwaan perlu mematuhi lunas undang-undang. Buat masa ini, kami sedang berbincang untuk melihat kemungkinan mengambil sebarang langkah undang-undang lanjut,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kajang, hari ini.

Menurut Nik Zarith, walaupun Faisal kini kembali beraksi di padang dan kelihatan lebih stabil dari segi mental, insiden berkenaan tetap memberi kesan trauma yang mendalam terhadap dirinya.

“Beliau mahu teruskan hidup dan kerjaya, namun hakikat bahawa tiada pihak yang dikenakan tindakan sudah pasti meninggalkan luka dari segi emosi dan psikologi,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang turut mewakili Faisal, Mohd Haijan Omar, menjelaskan bahawa pasukan perundangan sedang meneliti sama ada wujud sebarang ruang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mungkin bertanggungjawab secara tidak langsung.

“Kami belum memutuskan apa-apa, namun perbincangan akan diteruskan bagi mempertimbangkan semua opsyen yang ada,” jelasnya.

Cubaan media untuk menghubungi Faisal bagi mendapatkan reaksinya gagal apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button