
Fahmi lancar jelajah kempen kesedaran jenayah siber
PENGKALAN CHEPA 21 Jan. – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan hari ini.
Siri jelajah ini merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, sekali gus mengelakkan pengguna daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
MCMC dalam kenyataan menambah, jelajah ini akan diperluas ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat, selain penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta perundangan baharu Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA).
Turut diadakan ceramah mengenai modus operandi penipuan serta langkah pencegahan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, ceramah “Realiti Dunia Dalam Talian” oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), forum Bicara Klik Dengan Bijak dan reruai pameran.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahaya.
Sementara itu Fahmi dalam hantaran ke Facebook berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes jenayah dalam talian pada tahun 2024 adalah sebanyak 35,368, dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM1.5 bilion.
Manakala, sebanyak 34,495 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.22 bilion direkodkan pada 2023.
Pada akhir tahun lalu, PDRM dengan kerjasama MCMC telah melaksanakan Ops Pedo Bersepadu yang membawa kepada penangkapan seramai 13 suspek di 6 buah negeri, melibatkan rampasan lebih 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Dalam usaha memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia, Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian berjaya direalisasikan oleh Kementerian Komunikasi.
Tujuannya untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, sekali gus mengelakkan pengguna daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
“Sama-sama kita mainkan peranan untuk perangi jenayah dalam talian, sekali gus melindungi anak-anak dan keluarga daripada menjadi mangsa,” kata beliau. – SM