NegeriRencah Hidup

Syed Sirajuddin Areeb Putra wakil ayahanda, Raja Muda santuni asnaf

Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenaan berbual dengan penerima bantuan zakat MAIPs semasa singgah menyampaikan sumbangan.

ANAKANDA bongsu Raja Muda Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan berangkat mewakili ayahanda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menyempurnakan majlis penyerahan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid At-Taqwa, Alor Redis, Kangar.

Sumbangan kali ini melibatkan 70 asnaf dari anak kariah Alor Redis dan 70 lagi dari Padang Behor yang bertujuan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan di negeri ini.

Setiap asnaf menerima bantuan wang tunai RM700 dengan agihan MAIPs kali ini berjumlah RM98,000.

Selain itu para asnaf juga menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma selain mendengar ceramah oleh MAIPs bertajuk ‘Bangun Jiwa Asnaf’.

Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan mengurniakan sumbangan zakat MAIPs kepada salah seorang asnaf di Masjid At-Taqwa, Alor Redis, Kangar.

Selepas program di masjid tersebut, Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan meluangkan masa berangkat singgah di kediaman Tombi Ya’asun Saad, 54 dari Kampung Guar Syed Alwi, Ramlah Ishak, 61 dan Abd Ghafar Abdul Halim, 52 dari Kampung Alor Redis bagi menyerahkan sendiri bantuan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli berisi bahan makanan mentah dan juga beras fidyah.

Raja Muda mewakilkan Syed Sirajuddin Areeb Putra ke program tersebut kerana menghadiri majlis pengebumian adinda ipar Baginda iaitu Allahyarham Datuk Paduka Mohammad Yaacob Datuk Seri Azizul Hassan, 58 yang merupakan suami kepada Tengku Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Hajah Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.26 pagi akibat komplikasi buah pinggang di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar pada hari yang sama.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah perutusan yang disampaikan melalui pegawai MAIPs bagi pihak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah sehingga ke pengebumian.

Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan mengurniakan sumbangan zakat MAIPs kepada salah seorang asnaf semasa berangkat singgah di kediaman penerima.

Juga kepada yang datang dari jauh dan dekat bagi menziarah baik di HTF, Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar dan Makam DiRaja Arau.

Baginda memohon supaya sama-samalah mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kepada Allahyarham kedudukan yang mulia bersama para Anbiya’, Auliya’, Siddiqin dan Salihin. – SM

BACA Asnaf perlu berusaha majukan diri

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button