Jenayah

Fahaman Hizbut menyesatkan, boleh ancam keselamatan negara

ISUNYA mengenai kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi HTM semalam yang mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi dan Ketua Polis Johor telah memfitnah fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sebagai bercanggah dengan agama Islam.

Tidak timbul isu fitnah memandangkan kenyataan berdasarkan fatwa agama Islam negeri Johor yang dikeluarkan atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Sehubungan itu, polis Johor akan menggempur pusat-pusat kumpulan fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di Johor dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak polis akan berkerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi tujuan itu.

Kata Ayob Khan lagi, polis juga telah mengenal pasti 45 daripada 80 individu pengikut fahaman itu di Johor serta pemimpinnya iaitu Ketua HTM Negeri, Sallahuddin Mashkuri.

“Saya akan bekerjasama dengan JAINJ dalam sedikit waktu lagi. Walau pun sekarang ini bukan di bawah kuasa polis untuk diambil tindakan tetapi saya akan pastikan JAINJ ambil tindakan tegas dan tidak ada lagi amaran.

“Kita akan gempur pusat-pusat Hizbut Tahrir di Skudai. Saya akan bantu JAINJ untuk gempur, tunggu dan lihat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, fahaman HTM mempunyai ciri-ciri ajaran sesat seperti Daesh selain pernah mengeluarkan risalah-risalah antaranya berhubung melabelkan negara Islam moden sebagai kufur serta akan memerangi sistem demokrasi.

“Fahaman ini ada ciri-ciri ajaran sesat antaranya seperti Daesh, cuma mereka ini belum angkat senjata lagi, jadi kita jangan biarkan mereka berkembang,” ujar beliau.

Selain Johor, fatwa negeri-negeri lain seperti Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah turut jelas menyatakan mengenai penyelewengan Hizbut Tahrir.

Malah negara-negara dunia lain antaranya Rusia, Tunisia, Bangladesh, Jordan dan Syria turut mengenal pasti fahaman itu sebagai menyesatkan dan boleh mengancam keselamatan negara.

Pada 1 Oktober lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata, pihaknya  sedang memantau pergerakan pengikut HTM yang boleh ditahan menurut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) jika mereka didapati mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Pada ketika itu, meskipun tiada tangkapan dibuat, pihaknya telah menerima 17 laporan polis berhubung gerakan itu dan telah membuka kertas siasatan. – SUMBER BERNAMA -SM

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button