
“Faham-Faham Sendiri” – Kenyataan Pengurus Cetus Spekulasi Fattah dan Amira Bakal Bernikah
DESAS-desus mengenai status hubungan duda terhangat di pasaran, Fattah Amin, kembali menjadi perbualan hangat selepas pelakon kacak itu dikatakan sedang menghitung hari untuk melangkah ke alam perkahwinan bersama wanita pilihan hati, Amira Otman.
Walaupun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, tindakan Fattah yang tidak menafikan mahupun mengiyakan spekulasi berkenaan menguatkan lagi dakwaan bahawa pasangan ini bakal disatukan dalam masa terdekat.
Lebih mencuri tumpuan, kenyataan daripada individu terdekat aktor berusia 34 tahun itu dalam satu siaran langsung di TikTok baru-baru ini turut mengundang pelbagai reaksi peminat yang rata-ratanya teruja dan mendoakan agar hubungan mereka dipermudahkan.
“Alhamdulillah kalau Aca cakap macam tu, faham-faham sajalah. Tak sabar,” komen seorang netizen.
“Insya-Allah mungkin mereka sedang buat persiapan tu,” tulis seorang lagi peminat yang tidak sabar menanti hari bahagia pasangan itu.
Terdahulu, ketika sesi siaran langsung tersebut, seorang pengikut bertanyakan kesahihan artikel yang menyebut Fattah dan Amira sedang menghitung hari ke jinjang pelamin. Walaupun tiada pengesahan jelas diberikan, reaksi yang ditunjukkan seolah-olah mengiyakan perkara tersebut.
Sehingga kini, Fattah dan Amira masih mengunci mulut dan belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status hubungan mereka. Namun, keterbukaan Fattah dalam satu temu bual sebelum ini yang memohon agar semua pihak mendoakan yang baik-baik menambahkan lagi keyakinan bahawa detik bahagia itu semakin hampir.
“Kita doakan yang baik-baik saja. Insya-Allah, apabila sampai waktunya nanti, saya akan kongsikan,” katanya ringkas.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama gosip perkahwinan pasangan ini timbul. Pada Februari lalu, tersebar khabar mendakwa mereka telah bertunang dan dijangka berkahwin selepas Syawal.
Di media sosial, ruangan komen Fattah dan Amira sering dibanjiri ucapan tahniah serta doa daripada peminat yang tidak sabar melihat pasangan ini disatukan secara sah.
“Semoga dipermudahkan segala urusan Fattah dan Amira. Kalau dah jodoh, tak ke mana,” ujar seorang pengguna di TikTok.
Dengan populariti yang masih utuh dan peminat yang setia menyokong, majlis pernikahan Fattah dan Amira dijangka menjadi antara momen paling dinanti industri hiburan tahun ini.
kreadit: Kosmo