Nasionalpilihan

Faedah PERKESO ringankan bebanan waris penghantar makanan maut dirempuh kenderaan

BALU kepada seorang penghantar makanan yang maut dirempuh sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat baru-baru ini telah dibantu dengan sumbangan faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), hari ini.

Balu tersebut, Puan Nur Izwana Othman, 26 tahun, kehilangan suami yang baru dikahwininya tidak sampai sebulan yang lalu, selepas Allahyarham Muhaimin Said, 34 tahun, terkorban akibat dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Haji Sirat, Meru pada 3 September lalu.

Akibat rempuhan tersebut, arwah Muhaimin yang ketika dalam kejadian sedang dalam perjalanan untuk mengambil pesanan makanan pelanggan disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan organ dalamannya.

Kemalangan tragis dan menyayat hati yang tular di media sosial itu segera menarik perhatian PERKESO menerusi Skuad PERKESO Prihatin Klang yang telah bertindak proaktif dengan membuat semakan segera kelayakan arwah di bawah skim perlindungan keselamatan sosial.

Semakan yang dibuat mendapati arwah Muhaimin pernah mencarum di bawah dua akta iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789). Justeru, balu arwah layak menerima bantuan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan untuk Akta 4 berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

Selain itu, balu arwah juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837.00 sebulan yang akan dibayar seumur hidup serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.00 untuk sekali bayar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi Akta 789.

Bagi caruman SKSPS, arwah merupakan salah seorang daripada penerima insentif Kerajaan menerusi SPS Padanan Caruman (SPS Gig) di bawah Bajet 2022.

Dalam kejadian yang sama juga, terdapat seorang lagi penghantar makanan yang dirempuh kenderaan sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah pada kedua belah kakinya. Walau bagaimanapun, selepas semakan dibuat oleh PERKESO, mangsa, Muhammad Nazrul Mohd Nadzri, 29 tahun, yang menjalankan kerja penghantaran makanan secara separuh masa tidak mencarum dan dilindungi dengan SKSPS, sekaligus tidak melayakkan beliau untuk menerima faedah-faedah PERKESO.

Muhammad Nazrul yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampuan Rahimah, Klang sedang menunggu keputusan untuk dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan agar berdekatan dengan isteri dan keluarga beliau.

Dalam kunjungan ke rumah waris arwah di Rantau Panjang, Klang hari ini, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO telah berkesempatan menyantuni balu arwah dengan menyampaikan baucar bayaran faedah- faedah PERKESO tersebut.

Turut hadir, Encik Ts Zulhelmi Mansor, Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Encik Izad Haji Raya, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Encik Ismail Abi Hashim, Ketua Cawangan Skuad Prihatin & Sinergi PERKESO, Encik Zainol Abu, Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Encik V. Mohanadas, Pengurus PERKESO Klang dan Encik Khairullah Haji Mahfud, Ketua Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO.

Walaupun arwah Muhaimin tidak lagi bekerja dengan majikan dalam sektor formal, namun beliau masih lagi dilindungi di bawah Akta 4 kerana skim perlindungan ini adalah berasaskan prinsip “Once In, Always In”. Oleh itu, orang tanggungan layak menerima Pencen Penakat apabila Orang Berinsurans (OB) meninggal dunia akibat sebarang sebab sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman.

Sementara itu, FOT di bawah Akta 789 adalah faedah yang dibayar kepada orang tanggungan sekiranya Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri. FPM pula faedah yang dibayar untuk sekali bayar sekiranya seseorang OBS meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri.

PERKESO ingin menyeru orang ramai khususnya golongan yang bekerja sendiri untuk mencarum dengan SKSPS dan merebut peluang untuk mendapatkan bantuan padanan caruman SKSPS oleh Kerajaan. Menerusi SPS Padanan Caruman, golongan bekerja sendiri dalam lapan (8) kumpulan sasaran termasuk mereka ang menggunakan aplikasi digital di bawah syarikat pengantara atau Service Platform Provider hanya perlu membayar RM46.60 (20 peratus) sahaja di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS. Baki bayaran caruman sebanyak RM186.20 (80 peratus) akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan.

Di kesempatan ini juga, PERKESO ingin menggesa golongan individu yang bekerja sendiri di seluruh negara untuk segera mencarum dengan SKSPS PERKESO agar mereka sentiasa dilindungi daripada sebarang bencana pekerjaan sendiri mahupun penyakit ketika menjalankan pekerjaan.

OBS terutamanya yang bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan dan menggunakan motorsikal sebagai kenderaan untuk bekerja mempunyai risiko yang tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika bekerja sehingga boleh meragut nyawa. Dengan adanya perlindungan daripada PERKESO, sekurang-kurangnya nasib dan bebanan yang perlu ditanggung oleh OBS mahupun waris mereka akan terbela. – SM

Artikel berkaitan > Bekas pengawal keselamatan sekolah dibantu dengan faedah-faedah PERKESO

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button