
Eyka Farhana Sah Bergelar Isteri Akhyar Rashid
PELAKON popular Eyka Farhana kini sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup baru-baru ini.
Majlis penuh bermakna itu hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat pasangan berkenaan. Eyka turut berkongsi berita gembira itu di laman media sosial miliknya dengan penuh rasa syukur, disertai doa agar ikatan yang terbina terus diberkati dan dirahmati.
Pasangan ini sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos 2024 namun hanya mendedahkan status pertunangan mereka kepada umum pada November tahun lalu. Majlis pertunangan mereka juga diadakan secara sederhana dan tertutup.
Eyka dan Akhyar mula menjalin hubungan pada tahun 2020 namun memilih untuk tidak terlalu menonjolkan kisah cinta mereka kepada umum, sebaliknya mengambil pendekatan berahsia sehinggalah tiba masa yang dirasakan sesuai untuk berkongsi kebahagiaan mereka.
Ucapan tahniah membanjiri ruang komen media sosial Eyka dan Akhyar, dengan para peminat dan rakan artis mendoakan agar pasangan ini kekal bahagia hingga ke syurga.
Tahniah diucapkan kepada Eyka Farhana dan Akhyar Rashid. Semoga perkahwinan ini menjadi permulaan baharu yang penuh kebahagiaan dan kasih sayang.