Agama

Etiqa Salur Zakat Korporat RM982,244.50 kepada MAIPs, Bantu Komuniti Asnaf Perlis

KANGAR, 5 Julai 2025 (Bernama) – Etiqa Family Takaful Berhad telah menyalurkan zakat korporat bagi tahun 2024 berjumlah RM982,244.50 kepada negeri Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan komuniti melalui pendekatan zakat korporat yang menyeluruh dan bersasar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang Dipertua MAIPs, berkenan menerima simbolik penyerahan cek cura tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun Al-Ikhwan, Rahmattullah.

Dalam kenyataan media, Etiqa memaklumkan bahawa selain penyaluran zakat, pihaknya turut menghulurkan bantuan pek makanan berjumlah RM80,000 kepada 350 keluarga asnaf di Perlis, hasil kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun dan MAIPs. Sebanyak 30 penerima menerima sumbangan secara simbolik pada majlis hari ini.

Sebagai pengisian program, turut diadakan Kayuhan Berbasikal Amal sejauh 15 kilometer mengelilingi bandar Kangar, dengan singgahan ke tiga buah rumah asnaf terpilih untuk menyampaikan bantuan. Program ini turut diserikan dengan penyertaan Tuanku Raja Muda sendiri.

Etiqa juga menaja sepenuhnya saringan kesihatan dan pemeriksaan mamogram percuma kepada masyarakat setempat dengan kerjasama National Cancer Society Malaysia (NCSM).

Menurut Zafri, program seumpama ini selari dengan misi korporat Etiqa iaitu “Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik”, yang menekankan kepada impak berterusan kepada masyarakat.

“Zakat bukan sekadar memberi, tetapi menyentuh dan memperbaiki kehidupan mereka yang memerlukan. Dengan menggabungkan bantuan makanan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, kami berharap dapat membawa perubahan berkekalan kepada komuniti,” katanya.

Etiqa menzahirkan harapan agar zakat yang diagihkan melalui MAIPs akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai golongan memerlukan di negeri Perlis.

— BERNAMA —

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button