Nasional

Ingkar SOP PKP Aidilfitri, polis panggil 8 sekeluarga

LAPAN individu termasuk lima wanita yang tular dalam rakaman video sambutan Aidilfitri pada 1 Syawal dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, rakaman video itu didapati berlaku di sebuah kediaman di Kampung Baru, Batu Caves, Selangor.

“Siasatan dijalankan sebaik pihaknya mengesan satu rakaman video berhubung kejadian itu yang dimuat naik seorang pemilik akaun Instagram, kira-kira jam 3.45 petang, semalam.

“Rakaman video berdurasi 16 saat itu memaparkan suasana sambutan Hari Raya di kediaman berkenaan dan siasatan mendapati rakaman itu dibuat pada Khamis lalu kira-kira jam 3 petang iaitu pada sambutan Hari Raya pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, video tersebut dirakam menantu kepada pemilik rumah dan di dalam video itu kelihatan beberapa tetamu sedang berada di dalam dan perkarangan rumah.

Ujarnya, semakan juga mendapati kesemua tetamu yang berada di dalam rumah itu adalah daripada kalangan ahli keluarga suami suspek (perakam).

Katanya lagi, siasatan turut mendapati ahli keluarga suami suspek juga tinggal di sebuah rumah berasingan yang jaraknya lebih kurang 20 meter daripada kediaman itu yang turut berkunjung ke rumah suspek pada hari kejadian.

“Susulan itu, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 17 PPPDPB 2021 (Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021).

“Pada peringkat ini, kita sudah memanggil lapan individu terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 55 tahun untuk membantu siasatan,” katanya. -SM

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button