Ekonomi

Harga minyak sawit mentah naik

KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus meningkat pada Selasa dengan kontrak penanda aras Oktober 2020 naik kepada RM2,808 dalam dagangan harian, iaitu yang tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata anggaran data simpanan stok yang meningkat pada Julai yang dijangka mencecah paras terendah dalam tempoh tiga tahun, peningkatan eksport yang kukuh terutamanya bagi penghantaran yang kukuh ke India dan unjuran pengeluaran lebih rendah telah mendorong harga hari ini.

“Selain itu, prestasi kukuh minyak kacang soya dan olein sawit di Bursa Dalian serta kenaikan harga kanola di China kepada paras tinggi dalam tempoh beberapa tahun turut menyumbang kepada peningkatan petunjuk pasaran niaga hadapan sawit sebanyak RM2,808,” katanya kepada Bernama.

Pada Jun, bekalan minyak sawit merosot 6.33 peratus kepada 1.9 juta tan pada Jun 2020 berbanding 2.03 juta tan pada Mei 2020.

Sementara itu, eksport minyak sawit meningkat 24.91 peratus kepada 1.71 juta tan berbanding 1.37 juta tan pada bulan terdahulu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini berkata kementerian itu optimis bahawa harga MSM akan terus meningkat kepada RM2,500-RM2,600 satu tan menjelang akhir tahun.

Beliau berkata permintaan bagi produk minyak sawit Malaysia dari Timur Tengah dan wilayah Afrika serta permintaan dari negara seperti Filipina terus mencatat pertambahan.

Pada penutup, kontrak Ogos 2020 dan September 2020 meningkat RM42 masing-masing kepada RM2,892 satu tan dan RM2,832 satu tan.

Kontrak Oktober 2020 menambah RM37 kepada RM2,768 satu tan dan November 2020 menokok RM32 kepada RM2,721 satu tan.

Bagaimanapun jumlah dagangan turun kepada 48,009 lot daripada 53,118 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka susut kepada 227,632 kontrak daripada 238,542 kontrak sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Ogos Selatan meningkat RM40 kepada RM2,900 satu tan. – BERNAMA

(Visited 664 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button