BeritaRencah Hidup

Kisah si pemandu Grab dan penyelamat kucing jalanan

ASSALAMUALAIKUM dan apa khabar pembaca Suara Merdeka. Biar aku perkenalkan nama aku sebagai A sahaja. Aku seorang pemandu Grab.

Menjadi pemandu Grab merupakan pekerjaan terkini aku selepas kehilangan pekerjaan sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar arus perdana yang kini telah digulung atau istilah sebenarnya likuidasi.

Likuidasi adalah satu proses apabila aset syarikat akan dikumpul dan dicairkan bagi tujuan pembayaran hutang kepada pemiutang.

Bukan isu syarikat atau akhbar sama ada akan ‘dihidupkan’ semula atau terus dibiarkan ‘mati tanpa nisan’ yang hendak aku perkatakan. Aku mahu berkongsi pengalaman tentang kerjaya terkini aku.

Ya, tidak ramai pemandu Grab perempuan di negara kita. Aku adalah salah seorang daripada jumlah yang kecil ini. Mungkin pada tanggapan banyak orang, menjadi pemandu hanya sesuai untuk lelaki.

Sejujurnya, sepanjang hampir dua minggu membawa Grab, aku semakin selesa dengan pekerjaan yang sebenarnya tidak pernah aku terfikir untuk menceburinya. Aku semakin dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai ragam penumpang. Penat memang penat tetapi ada kalanya menyeronokkan.

Rakan-rakan yang mengenali diri aku tahu betapa sebelum ini aku kurang bersosial. Namun, dengan sentiasa membawa penumpang, secara tidak langsung membuka ruang untuk aku bersosial.

Banyak perkara menarik perhatian aku ketika berbual-bual dengan penumpang yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan negara ini.

Kesimpulan aku, ramai dalam kalangan mereka mempunyai sikap dan hati yang baik – sentiasa bertolak ansur walaupun ada kalanya aku membawa mereka melalui laluan yang agak jauh akibat mengalami masalah penunjuk arah (navigasi).

Paling aku sedari ialah jika sebelum ini kita sering memandang sebelah mata atau endah tak endah dengan pekerja-pekerja luar terutama dari Bangladesh, Nepal atau Indonesia, hakikatnya mereka ini adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan kebanyakan pemandu Grab.

Mereka ini juga tidak banyak kerenah. Sangat peramah dan pemurah. Mungkin sifat-sifat ini tidak aku fahami jika aku bukan seorang pemandu Grab. Aku yakin kebaikan yang ditunjukkan itu bukan kerana aku seorang perempuan. Ramai rakan pemandu lelaki juga mengakui hakikat ini.

Kesungguhan mereka mencari nafkah amat mengagumkan. Mereka sanggup tidak pulang bertahun-tahun ke kampung halaman demi matlamat yang satu – mengubah nasib keluarga, anak dan isteri.

“Hari ini saya gembira sebab mahu balik Bangladesh. Anak saya sudah umur enam tahun. Saya tinggalkan dia semasa dia kecil lagi. Isteri saya sangat baik. Dia percayakan saya,” kata Yusuf tersenyum mungkin membayangkan pertemuan yang bakal berlaku bersama keluarga hanya selepas lima tahun sejak dia nekad merantau untuk mencari rezeki di negara orang.

Seorang penumpang dari Indonesia pula mengakui mampu membina sebuah banglo di kampung halaman menerusi pendapatan bekerja sebagai buruh kasar di sebuah syarikat pembinaan di Klang.

“Di sini (Malaysia) kalau kita rajin, kita boleh senang. Macam-macam kerja boleh buat. Kalau di Indonesia, penduduk ramai pekerjaan pula kurang. Saya perlu bantu keluarga di kampung,” ujarnya yang merantau pada usia 21 tahun ke Malaysia. Anak muda ini kini berusia 28 tahun.

Satu hari ketika berada di Shah Alam, aku menerima tempahan penumpang yang ingin ke klinik veterinar berhampiran. Nama yang tertera di skrin telefon menunjukkan penumpang tersebut seorang lelaki Cina. Pada awalnya, aku agak keberatan untuk meneruskan perjalanan.

Namun atas dasar tanggungjawab, aku menghalakan pemanduanku ke destinasi menunggu. Dalam hati berkata, kalau anjing, aku mungkin boleh minta penumpang itu menempah pemandu Grab lain.

Hati aku lega bila nampak dalam sangkar yang dibawa, ada seekor kucing.

Wong, lelaki Cina tadi adalah seorang warga negara Australia. Dia merupakan guru di salah sebuah sekolah antarabangsa di Petaling Jaya.

Dia hairan melihat banyak kucing jalanan di Malaysia. Kucing yang dibawa untuk mendapatkan rawatan di klinik itu juga adalah seekor kucing jalanan yang ditemui.

Atas rasa tanggungjawab sebagai manusia katanya, dia tidak kisah membelanjakan sedikit pendapatannya untuk memastikan beberapa ekor kucing yang ditemui berada dalam keadaan sihat.

“Saya sempat mandulkan beberapa ekor kucing setakat ini. Kesian tengok kucing-kucing ini,” kata Wong, yang aku gelar sebagai lelaki berhati mulia kerana sanggup mengisi masa hujung minggunya dengan membawa kucing-kucing tidak bertuan ke klinik dan menanggung kos rawatan yang dikenakan.

Sebenarnya banyak lagi kisah menarik yang boleh dikongsi bersama. Kisah pelajar Melayu berasal dari Alor Setar, Kedah tetapi bercakap ala negro, pelajar tidak dapat membezakan maksud bersara dan bersalin, pengakuan seorang pondan dan lain-lain. Jika ada kesempatan dan permintaan akan bersambung minggu depan.

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button