Ekonomi

Bank Rakyat perkenal program pembiayaan BRTani

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick baru-baru ini melancarkan program pembiayaan BRTani yang menyediakan pembiayaan khusus untuk membantu memacu industri makanan dan pertanian sekali gus meningkatkan pengeluaran agromakanan negara.

Program pembiayaan yang menyasarkan usahawan sektor pertanian dan industri asas tani khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi ini merupakan sebahagian daripada mandat Bank Rakyat untuk menyokong sektor pertanian dan industri asas tani selaras dengan agenda negara untuk meningkatkan keselamatan dan keterjaminan makanan.

‘Produk BRTani ini akan memfokuskan keperluan usahawan yang memerlukan perbelanjaan modal, modal kerja dan pembangunan projek agromakanan serta dibuka kepada semua usahawan dan koperasi yang berkelayakan dan menepati kriteria,” ujar Datuk Ewon ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Madani anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, Sabah, baru-baru ini.

Antara kriteria permohonan yang ditetapkan termasuk perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan atau daerah, perniagaan patuh Syariah dan telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Program pembiayaan ini merangkumi dua kategori termasuk mikro dan koperasi mikro dengan jumlah pembiayaan berjumlah RM5,000 sehingga RM50,000 serta PKS dan koperasi sebanyak RM50,001 sehingga RM5,000,000.

Sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan kesejahteraan di bawah kerangka visi Malaysia Madani, pelancaran program pembiayaan ini dilihat diperkenalkan tepat pada masanya bagi menyokong agenda yang dihasratkan oleh Kerajaan dalam memperkasakan pengeluaran makanan negara bagi menjamin kelestarian sumber makanan pada masa hadapan.

Inisiatif ini yang mendukung tonggak daya cipta di bawah nilai Malaysia Madani juga dijangka dapat membantu usahawan khususya daripada sektor PMKS dan koperasi dalam mengembangkan lagi perniagaan berkaitan pertanian dan industri asas tani sekali gus memperkukuhkan keterjaminan dan kestabilan bekalan makanan yang akan memberi impak kepada pengurangan kos sara hidup. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat santuni lebih 3,000 pelajar menerusi Karnival Ramadan Nuri

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button